KUALA LUMPUR – UMNO menegaskan komitmennya untuk terus mendokong Kerajaan Perpaduan Malaysia sehingga pilihan raya umum akan datang, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ketetapan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden parti, malam ini.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa model kerjasama di peringkat Persekutuan tidak mengikat pentadbiran di peringkat negeri, mengambil contoh pembentukan Kerajaan Negeri Johor yang diterajui parti itu sebelum wujudnya Kerajaan Perpaduan.
”Kerajaan Negeri Johor dibentuk sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia tanpa melibatkan parti-parti daripada Pakatan Harapan (PH).
“Justeru, perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tidak mengikat mana-mana Kerajaan Negeri,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Mengulas mengenai persediaan mendepani pilihan raya, Asyraf Wajdi berkata UMNO mempunyai hak mutlak untuk menentukan pendirian dan hala tuju parti, khususnya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang bakal diadakan kelak.
Beliau turut menepis dakwaan pihak tertentu yang melabel langkah parti itu mempertahankan mandat di peringkat negeri sebagai satu tindakan khianat kepada prinsip kerjasama di peringkat Persekutuan.
”Keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan mandat negeri bukanlah satu pengkhianatan kepada Kerajaan Persekutuan sebagaimana tuduhan segelintir pihak. Sebaliknya, ia adalah amalan demokrasi yang sah, matang dan berperlembagaan untuk menyerahkan sepenuhnya mandat kepada rakyat,” katanya.
Mengenai landskap politik masa hadapan, Asyraf Wajdi berkata UMNO kekal bersikap terbuka untuk menjalinkan sebarang bentuk kerjasama politik dengan mana-mana pihak demi memastikan kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.
Namun, beliau menegaskan bahawa setiap jalinan kerjasama yang mahu dibentuk pada masa hadapan haruslah bersandarkan kepada prinsip keikhlasan dan kepercayaan antara satu sama lain.










