KUALA LUMPUR: Pejabat Parlimen Petaling Jaya mengesahkan telah kehilangan akses kepada sistem MyKhas sejak 29 Mei lalu, sekali gus menyekat segala urusan berkaitan peruntukan kawasan serta Projek Mesra Rakyat (PMR).
Ahli Parlimennya, Lee Chean Chung berkata, tindakan menyekat saluran peruntukan tersebut dibuat tanpa menyatakan sebarang sebab atau penjelasan rasmi kepada pihaknya.
Beliau menjadi Ahli Parlimen kedua daripada blok kerajaan yang berhadapan situasi sedemikian selepas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, menerima nasib yang sama baru-baru ini.
”Demi memastikan rakyat tidak terus tertanya-tanya dan menunggu tanpa kepastian, saya mengambil keputusan untuk memaklumkan perkara ini secara terbuka pada hari ini.
”Secara peribadi, saya menerima keadaan ini dengan tenang. Namun saya ingin mengemukakan satu persoalan yang amat mudah; apakah sebenarnya kesalahan yang telah saya lakukan?” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Mengulas lanjut, Chean Chung menegaskan beliau masih merupakan Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan, tidak pernah mengumumkan keluar parti dan tidak pernah mengundi menentang kerajaan di Parlimen.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan sekatan tersebut mempunyai kaitan dengan kehadirannya pada majlis pelancaran parti baharu yang dipimpin oleh Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad pada 17 Mei lalu.
”Sekiranya keputusan ini berkait dengan kehadiran saya pada majlis pelancaran parti baharu tersebut, maka pimpinan parti seharusnya memberikan penjelasan yang jelas dan terbuka.
Jika tindakan saya dianggap melanggar disiplin, keluarkan surat amaran atau tunjuk sebab,” katanya.
Jelasnya, pada 22 Mei lalu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh memaklumkan pimpinan parti akan menghubungi enam Ahli Parlimen yang menghadiri majlis tersebut termasuk dirinya, namun sehingga kini tiada sebarang makluman rasmi diterima.
Beliau turut menyuarakan rasa kesal berhubung tindakan menyekat akses peruntukan berkenaan kerana ia bercanggah dengan prinsip kebertanggungjawaban serta manifesto Pakatan Harapan (PH) pada muka surat 42.
Dalam manifesto berkenaan, PH dengan jelas berjanji untuk menyediakan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) secara adil kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik demi kepentingan rakyat, yang sepatutnya disalurkan melalui Parlimen dan bukannya Pejabat Perdana Menteri.
Ekoran itu, beliau mendakwa timbul persepsi wujudnya amalan ‘dua darjat’ apabila peruntukan diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang menyokong kerajaan, namun dinafikan kepada Ahli Parlimen kerajaan yang lantang memberi teguran.
Menurut beliau lagi, isu ini bukan melibatkan kepentingan peribadi, sebaliknya menjejaskan komuniti setempat, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta golongan memerlukan yang mengharapkan sumbangan menerusi pusat khidmat rakyat.
Mengimbas pengalaman lalu, pemimpin PKR itu menyatakan beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Semambu, Pahang tanpa sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN).
”Saya tidak menyangka pengalaman yang sama kini terpaksa saya hadapi ketika berada dalam sebuah parti yang selama ini memperjuangkan agenda reformasi.
”Jika ini merupakan keputusan politik, nyatakan sebabnya secara terbuka. Jika ini tindakan disiplin, ikutilah proses sewajarnya. Sekiranya ia sekadar masalah teknikal, selesaikan segera,” ujarnya.










