Malaysia, India perkukuh hubungan strategik dua hala

KUALA LUMPUR: Malaysia komited untuk terus memperluaskan hubungan dua hala yang kukuh dengan India demi manfaat bersama, kemajuan ekonomi serantau serta masa depan yang lebih inklusif dan mampan buat rakyat kedua-dua negara.

Menteri Sumber Manusia, R. Ramanan berkata, komitmen tersebut dizahirkan menerusi pertemuan beliau dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B.N. Reddy yang mengadakan kunjungan hormat perpisahan sempena tamat tempoh perkhidmatannya di negara ini.

Menurut beliau, kerajaan merakamkan penghargaan atas komitmen dan peranan besar yang dimainkan B.N. Reddy dalam memperkukuh hubungan persahabatan serta kerjasama strategik antara Malaysia dan India sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Pertemuan ini turut membuka ruang pertukaran pandangan mengenai landskap kerjasama masa hadapan antara Malaysia dan India yang semakin berkembang selaras dengan kedudukan kedua-dua negara sebagai rakan strategik komprehensif.

“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau bukan sahaja memainkan peranan penting dalam mengeratkan kerjasama dua hala, malah berjaya membina hubungan persahabatan yang berteraskan rasa hormat dan kepercayaan antara kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Ramanan berkata, hubungan erat Malaysia dan India yang telah terjalin sekian lama menjadi asas penting kepada pelbagai bentuk kerjasama melibatkan sektor ekonomi, perdagangan, pelaburan serta pembangunan modal insan.

Beliau berkata, Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan India bagi memastikan hubungan dua hala yang terjalin dapat diterjemahkan kepada manfaat yang lebih besar untuk kedua-dua negara.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan dan mengucapkan selamat maju jaya kepada B.N. Reddy atas khidmat serta sumbangan beliau dalam mempererat hubungan diplomatik antara Malaysia dan India.

BBerkaitan

Latest articles