MCMC Perketat Ruang Digital, Kawalan Akaun Bawah 16 Tahun Mulai Jun

CYBERJAYA: Kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh kawalan keselamatan digital negara apabila secara rasmi menerbitkan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), dalam usaha membendung ancaman kandungan memudaratkan di platform dalam talian.

Langkah tegas itu diumumkan selepas MCMC selesai melaksanakan sesi libat urus bersama pemain industri, pertubuhan masyarakat sivil serta pihak berkepentingan lain, termasuk rundingan awam yang berlangsung dari 12 Februari hingga 31 Mac lalu.

Menurut MCMC, penguatkuasaan kedua-dua kod berkenaan menjadi antara obligasi utama di bawah ONSA dan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan ekosistem digital negara lebih selamat khususnya kepada kanak-kanak serta golongan rentan.

Pelaksanaan CPC memberi penekanan terhadap konsep “safety by design” atau keselamatan melalui reka bentuk, yang mewajibkan penyedia perkhidmatan digital membangunkan platform lebih selamat serta bersesuaian dengan umur pengguna kanak-kanak.

Malah, antara langkah utama yang digariskan termasuk sekatan terhadap pendaftaran dan pemilikan akaun oleh pengguna berusia bawah 16 tahun bagi mengurangkan risiko eksploitasi, gangguan serta pendedahan kepada kandungan berbahaya.

Kod itu turut menetapkan perlindungan mengikut kategori umur selain mengehadkan fungsi tertentu yang boleh membuka ruang kepada ancaman digital terhadap kanak-kanak.

Dalam masa sama, RMC pula mewajibkan semua pemberi perkhidmatan mengambil tindakan lebih proaktif dan menyeluruh bagi mengurangkan risiko kandungan memudaratkan di platform masing-masing.

Antara kewajipan yang perlu dipatuhi termasuk pelaksanaan penilaian risiko, tadbir urus kandungan lebih ketat, mekanisme pelaporan serta tindakan respons lebih berkesan, selain pengesahan pengiklan dan pelabelan kandungan yang dimanipulasi.

Pendekatan pelaksanaan kod berkenaan juga berasaskan hasil, sekali gus memberi fleksibiliti kepada syarikat penyedia perkhidmatan untuk menentukan kaedah terbaik yang selari dengan aspek keselamatan, privasi dan keperluan perundangan.

MCMC menegaskan pengenalan CPC dan RMC bukan sahaja bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna muda, malah memberi keyakinan lebih tinggi kepada ibu bapa dalam berdepan cabaran dunia digital yang semakin kompleks dan sukar dikawal.

Kedua-dua kod berkenaan dijadual mula berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Jun 2026.

BBerkaitan

Latest articles