Oleh: Hj Sarfarizmal Md Saad
KRISIS politik Negeri Sembilan hari ini tidak lagi boleh dianggap sekadar salah faham politik biasa. Apa yang berlaku jelas berpunca daripada kegagalan Menteri Besar mengurus isu sensitif melibatkan Institusi Adat Perpatih sehingga keadaan menjadi semakin parah dan memecah-belahkan rakyat.
Sejak awal, krisis ini sebenarnya boleh dikawal jika Menteri Besar bertindak lebih berhati-hati, matang dan memahami batas antara kuasa politik dengan institusi adat negeri. Namun kegagalan beliau mengurus keadaan secara bijaksana menyebabkan isu yang sepatutnya diselesaikan secara tertutup akhirnya menjadi polemik terbuka di media sosial dan pentas politik.
Lebih memburukkan keadaan, tindakan serta pendekatan Menteri Besar dilihat mengundang keresahan pelbagai pihak termasuk waris adat, pemimpin masyarakat dan rakyat Negeri Sembilan sendiri. Krisis ini akhirnya menjejaskan kestabilan kerajaan negeri serta keyakinan rakyat terhadap pentadbiran sedia ada.
Dalam situasi ini, UMNO Negeri Sembilan mempunyai asas yang kuat untuk menyatakan hilang keyakinan terhadap Menteri Besar. Isunya bukan soal kuasa semata-mata, tetapi soal kegagalan kepimpinan dan ketidakmampuan mengurus krisis negeri secara bertanggungjawab.
Justeru, hanya ada dua jalan penyelesaian yang wajar dilakukan Menteri Besar.
Pertama, beliau perlu segera membuka sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan membuktikan bahawa dirinya masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri. Jika benar beliau masih mempunyai sokongan, beliau perlu berani berhadapan dengan usul undi tidak percaya dan membuktikan kedudukannya masih sah serta diterima majoriti wakil rakyat, walaupun sekadar majoriti mudah.
Bagaimanapun, langkah membuka sidang DUN bukan semudah memanggil persidangan biasa. Negeri Sembilan mempunyai struktur adat dan sistem pemerintahan yang unik. Sidang DUN sepatutnya dimulakan daripada garis pemula yang sah iaitu Istiadat Pembukaan DUN dengan kehadiran co-rulers Negeri Sembilan — Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.
Perkara ini menjadi persoalan besar kerana ramai pengamal undang-undang berpandangan bahawa Istiadat Pembukaan DUN pada 23 April 2026 dilihat janggal dan sedikit tempang apabila berlangsung tanpa kehadiran lengkap co-rulers negeri. Ia menimbulkan persoalan tentang kesempurnaan moral dan adat terhadap pembukaan sidang tersebut ketika krisis adat masih belum diselesaikan sepenuhnya.
Persoalannya sekarang, adakah kesemua co-rulers ini bersedia untuk kembali duduk bersama di atas pentas sidang DUN selagi krisis adat masih belum menemui jalan penyelesaian? Jika hubungan dan keyakinan antara institusi adat dengan pentadbiran negeri masih belum dipulihkan, maka keadaan itu sendiri memberi gambaran jelas bahawa krisis ini belum benar-benar selesai.
Jika Menteri Besar gagal membuktikan beliau masih mendapat sokongan majoriti, maka beliau perlu menerima hakikat bahawa dirinya sudah kehilangan legitimasi moral dan politik untuk terus mentadbir negeri.
Pilihan kedua ialah membubarkan DUN dan mengembalikan mandat kepada rakyat melalui Pilihan Raya Negeri (PRN). Inilah langkah paling matang, demokratik dan terhormat dalam menyelesaikan kemelut yang semakin merosakkan kestabilan Negeri Sembilan.
Namun proses pembubaran DUN juga bukan isu kecil. Ia turut menimbulkan persoalan besar dari sudut adat dan perlembagaan negeri. Adakah kesemua co-rulers Negeri Sembilan bersetuju untuk menurunkan tanda tangan bagi memperkenankan pembubaran DUN? Jika hanya seorang yang memberikan persetujuan, adakah pengisytiharan pembubaran oleh Menteri Besar akan benar-benar sah dan diterima semua pihak?
Persoalan-persoalan ini menunjukkan bahawa kegagalan Menteri Besar mengurus krisis sejak awal telah membawa Negeri Sembilan ke dalam situasi yang semakin rumit dan sensitif.
Menteri Besar perlu bersikap gentleman, matang dan cerdik dalam mengurus krisis ini. Rakyat adalah pemilik sebenar mandat sesebuah kerajaan. Biarkan rakyat sendiri menilai, menghukum dan menentukan siapa yang layak mentadbir Negeri Sembilan.
Semakin lama krisis ini dibiarkan tanpa penyelesaian jelas, semakin besar kerosakan terhadap keyakinan rakyat, kestabilan politik dan maruah pentadbiran negeri. Dalam demokrasi, apabila keyakinan terhadap seorang pemimpin mula runtuh, penyelesaiannya bukan lagi melalui kenyataan media atau propaganda politik tetapi melalui dewan legislatif atau peti undi rakyat.
Hj Sarfarizmal Md Saad merupakan Bekas Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Negeri Sembilan










