KUALA TERENGGANU: Perjalanan seorang remaja lelaki berakhir tragedi apabila dia maut dalam keadaan mengerikan selepas van dinaikinya ditembusi tiang Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kemalangan di Jalan Losong Feri, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, mangsa, Wah Han Keong, 18, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan sebuah van Nissan Vanette disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kemalangan tersebut membabitkan sebuah Volkswagen Golf GTI dan van Nissan Vanette.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berusia 43 tahun itu sedang bergerak dari arah pusat bandar Kuala Terengganu menuju ke Muzium Losong sebelum dipercayai hilang kawalan.
“Kenderaan itu kemudian terbabas dan melanggar tiang JKR di pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu merempuh van yang dinaiki mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, impak pelanggaran menyebabkan tiang JKR berkenaan tumbang dan menembusi bahagian hadapan van sehingga terkena mangsa.
Katanya lagi, pemandu Volkswagen bersama tiga penumpang lain termasuk seorang bayi berusia setahun tidak cedera, manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun mengalami kecederaan ringan pada kaki.
“Pemandu van berusia 49 tahun turut mengalami kecederaan ringan pada tangan,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.










