PN Sedia Letak Calon Di Semua 56 Kerusi DUN Johor

KUALA LUMPUR: Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin memuncak apabila Perikatan Nasional (PN) memberi isyarat mahu bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menyaingi langkah awal Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, gabungan itu masih membuka pintu rundingan dengan parti-parti tertentu bagi mengelakkan pertembungan sesama blok pembangkang.

Menurut beliau, pendekatan itu penting untuk memastikan saingan lebih efektif dalam menghadapi BN dan PH pada pilihan raya akan datang.

“PN bersedia bertanding di semua kerusi, namun kita terbuka untuk berbincang dengan beberapa parti lain supaya tidak berlaku pertembungan dalam kalangan pembangkang,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Sekretariat Malaysia-Aid4Iran di ibu pejabat PAS.

Tambahnya, PN bukan sahaja bersedia berdepan PH dan BN di Johor, malah yakin menghadapi cabaran sama di negeri-negeri lain sekiranya pilihan raya negeri diadakan.

Pada PRN Johor 2022 lalu, PN meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN, namun hanya memperoleh kemenangan di tiga kawasan.

Sebelum ini, Pengerusi BN Johor yang juga Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengesahkan BN akan bertanding di semua kerusi pada PRN akan datang.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan gabungan itu berhasrat meletakkan calon di semua kawasan bagi menghadapi PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU).

Bagaimanapun, Presiden PKR itu memaklumkan masih terdapat ruang untuk rundingan sebelum keputusan akhir dimuktamadkan.

BBerkaitan

Latest articles