KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan seluruh kepimpinan dan anggota PKR di Pandan terus bersatu serta memperkukuh kekuatan jentera parti bagi memastikan kerusi Parlimen itu kekal berada di bawah penguasaan PKR.
Perkara itu didedahkan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz menerusi hantaran di media sosial selepas satu pertemuan bersama pimpinan PKR Pandan sempena Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru.
Menurutnya, pimpinan cabang terbabit menzahirkan kesetiaan kepada parti selain komited memperkemaskan gerak kerja organisasi di Pandan.
Katanya, Anwar turut menitipkan pesanan agar semangat perpaduan terus diperkukuhkan dalam kalangan anggota parti di kawasan itu.
“Presiden menegaskan supaya seluruh anggota Keadilan Pandan terus mengekalkan kesatuan, menggerakkan jentera parti dan memastikan Parlimen Pandan kekal menjadi milik Keadilan,” katanya.
Kenyataan itu hadir beberapa hari selepas bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan keluar daripada parti serta mengosongkan kerusi Parlimen Pandan.
Rafizi yang kini mengambil alih Parti Bersama Malaysia dilaporkan akan mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).










