Rafizi, Nik Nazmi Pilih Parti Bersama Malaysia Sebagai Wadah Politik Baharu

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini mengumumkan menerajui Parti Bersama Malaysia sebagai platform baharu untuk meneruskan perjuangan politik mereka.

Perkembangan itu diumumkan bekas Menteri Ekonomi dan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar itu dalam satu majlis di PJ Performing Arts Centre, petang tadi.

Pengasas serta Presiden Parti Bersama Malaysia, Tan Gin Theam turut menyerahkan sijil pendaftaran parti kepada kedua-dua pemimpin berkenaan di hadapan lebih 2,000 penyokong.

Parti Bersama Malaysia yang ditubuhkan di Pulau Pinang pada 2 Disember 2016 sebelum ini membawa gagasan politik kuasa ketiga dengan matlamat menjadi mekanisme semak dan imbang kepada kerajaan serta pembangkang.

Sebelum ini Rafizi menyuarakan hasrat mencari ruang baharu bagi memperjuangkan agenda reformasi politik di luar kerangka sedia ada.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, bersama Nik Nazmi selaku Ahli Parlimen Setiawangsa, melepaskan jawatan masing-masing dalam Kabinet pada Mei tahun lalu selepas tewas dalam pemilihan PKR.

Rafizi gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR apabila kalah kepada Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi turut kecundang dalam perebutan jawatan Naib Presiden parti itu.

Sejak pemilihan berkenaan, hubungan Rafizi dengan kepimpinan PKR dilihat semakin renggang apabila beliau mula lantang mengkritik kerajaan serta hala tuju parti secara terbuka.

Sebelum ini, beliau turut memberi bayangan kemungkinan meninggalkan PKR selepas Parlimen dibubarkan, selain berdepan percubaan menyingkirkannya daripada jawatan Ketua Cabang PKR Pandan dalam mesyuarat agung tahunan cabang tersebut pada April lalu.

BBerkaitan

Latest articles