PUTRAJAYA,— Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan yang mengaitkan bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, dengan pengaliran dana asing yang didakwa digunakan untuk menggerakkan naratif tertentu di media sosial dan demonstrasi jalanan.
Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat, Shahbudin Embun berkata, dakwaan berkenaan perlu disiasat secara menyeluruh kerana melibatkan isu yang didakwa berkaitan campur tangan pihak luar dalam politik tempatan.
Menurut beliau, pihaknya berharap polis dapat menjalankan siasatan berdasarkan laporan yang telah dibuat berserta bahan dan bukti yang didakwa telah dikemukakan kepada pihak berkuasa.
“Tindakan pihak berkuasa penting bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara daripada sebarang bentuk campur tangan asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mendakwa siasatan boleh dijalankan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan keselamatan negara dan pengubahan wang haram sekiranya terdapat asas yang mencukupi.
Semalam, NGO berkenaan dilaporkan membuat laporan polis berhubung satu video tular yang dikaitkan dengan Rafizi Ramli berhubung dakwaan pengaliran dana asing melebihi RM1.5 juta daripada sebuah organisasi luar negara melalui proksi tempatan.
Menurut Shahbudin, dana tersebut didakwa digunakan bagi menggerakkan naratif tertentu di media sosial serta demonstrasi jalanan atas nama demokrasi dan hak asasi manusia.
Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung dakwaan tersebut dan Rafizi Ramli juga belum mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjawab dakwaan berkenaan.










