Rafizi Pertahan Prosedur Pelaburan RM1.1 Bil

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan semua urusan berkaitan dokumen dan perjanjian pelaburan bernilai RM1.1 bilion melibatkan Arm Holdings dilaksanakan secara teratur serta mematuhi prosedur ditetapkan.

Menurut beliau, setiap rekod penting termasuk minit mesyuarat, dokumen rasmi dan perjanjian berkaitan tersedia serta boleh dikemukakan di mahkamah sekiranya diperlukan.

Rafizi berkata demikian kepada pemberita selepas selesai hampir lima jam memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan strategik sektor semikonduktor.

Beliau yang hadir sekitar jam 1.50 tengah hari memaklumkan, setakat ini siasatan tertumpu kepada aspek prosedur serta keputusan usaha sama antara Kementerian Ekonomi dan syarikat berpangkalan di United Kingdom itu.

“Tiada soalan berkaitan aliran wang atau transaksi dibangkitkan. Fokus hanya kepada proses dan keputusan pelaburan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Hafaz Nazar mengesahkan rakaman percakapan Rafizi selesai kira-kira jam 7 malam dan akan disambung untuk hari keempat esok.

Terdahulu, SPRM memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM, melibatkan kesalahan penyalahgunaan jawatan atau kedudukan bagi mendapatkan suapan, dengan Rafizi hadir bagi memberi kerjasama penuh dalam melengkapkan siasatan.

BBerkaitan

Latest articles