Wanita Tidak Wajar Di Zon Konflik, Pengunduran Bukan Tanda Lemah – Mufti

KUALA LUMPUR: Wanita tidak sepatutnya ditempatkan di kawasan konflik berisiko tinggi kerana langkah pengunduran dari zon bahaya adalah selaras dengan tuntutan syariat, bukannya mencerminkan kelemahan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil menegaskan, kehadiran wanita di zon merah bukan sahaja mendedahkan mereka kepada risiko peribadi, malah boleh membawa implikasi lebih besar termasuk dimanipulasi sebagai bahan propaganda musuh, tekanan diplomatik serta mengalihkan fokus misi daripada bantuan kepada operasi menyelamat.

Menurut beliau, konsep keberanian dalam Islam tidak bersifat melulu, sebaliknya mesti disandarkan kepada kebijaksanaan dan pertimbangan strategik.

“Berundur dari kawasan berbahaya untuk menyusun langkah adalah sebahagian daripada strategi perjuangan. Ia bukan satu kekalahan, sebaliknya mencerminkan kecerdasan,” katanya.

Beliau menjelaskan, pendekatan syariat bukan menafikan peranan wanita, tetapi menyusun peranan tersebut agar lebih efektif dan selamat, termasuk memastikan mereka tidak berada di kawasan pertembungan.

Tambahnya, kejayaan sesuatu misi kemanusiaan tidak diukur berdasarkan tahap risiko yang diambil, tetapi sejauh mana objektif dapat dicapai dengan impak negatif yang minimum.

Kenyataan itu dikongsikan menerusi ruangan Tinta Mufti yang menghuraikan Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-929 berkaitan hukum penglibatan wanita dalam misi kemanusiaan The Global Sumud Flotilla ke Palestin.

Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa perjalanan wanita dalam misi kemanusiaan perlu dinilai secara teliti berdasarkan disiplin fiqh, dengan syarat utama iaitu jaminan keselamatan menyeluruh sepanjang perjalanan.

Bagaimanapun, realiti misi flotila yang bertujuan memecahkan sekatan tentera laut Israel menjadikannya berisiko tinggi kerana melibatkan konfrontasi langsung dengan kekuatan ketenteraan.

“Sejarah seperti insiden Mavi Marmara membuktikan bahawa risiko keganasan adalah tinggi dan berulang,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan perjuangan Palestin memerlukan strategi jangka panjang yang tersusun, bukan sekadar semangat semata-mata.

Katanya, wanita tetap memainkan peranan penting dalam ekosistem perjuangan, khususnya dalam bidang perubatan, logistik, advokasi media dan diplomasi awam yang menjadi faktor penentu kejayaan sesuatu misi.

“Keselamatan peserta bukan perkara sampingan, sebaliknya indikator utama kejayaan. Membawa orang awam ke dalam konfrontasi bersenjata tanpa keupayaan pertahanan bercanggah dengan prinsip hikmah dan tadbir urus Islam,” katanya.

Menurutnya, semangat aktivis perlu dipandu dengan ilmu dan pertimbangan syariah, bukan didorong emosi semata-mata.

Beliau turut menekankan bahawa prinsip Maqasid Syariah mengutamakan pemeliharaan nyawa dan maruah, yang tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.

“Sebarang tindakan yang mendedahkan kedua-duanya kepada risiko tinggi perlu ditolak, walaupun atas nama kepentingan umum,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles