KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut positif perkembangan terbaharu melibatkan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran susulan penerimaan awal terhadap Pelan 10 Perkara yang dicadangkan Tehran.
Perdana Menteri berkata, langkah itu memberi sinar harapan ke arah pemulihan keamanan serta kestabilan global yang sekian lama terjejas akibat ketegangan berterusan di rantau tersebut.
“Diharapkan proses rundingan akan dijalankan dengan niat baik, disertai iltizam kukuh untuk mencari penyelesaian berkekalan terhadap isu-isu yang sedang dihadapi di rantau ini.
“Rundingan damai tidak akan berjaya sekiranya prosesnya diselubungi penipuan dan muslihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa pelan berkenaan perlu diterjemahkan kepada perjanjian damai yang menyeluruh, melibatkan bukan sahaja Iran, malah negara-negara lain yang turut terkesan seperti Iraq, Lubnan dan Yaman.
Dalam masa sama, Anwar mengingatkan bahawa usaha keamanan tidak boleh dipisahkan daripada keperluan menghentikan penindasan terhadap rakyat Palestin, khususnya di Gaza.
“Saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Pakistan serta Perdana Menteri Shehbaz Sharif atas usaha diplomasi yang tidak mengenal penat lelah dan berani sehingga membawa kepada detik ini.
“Kesediaan Pakistan untuk berunding dengan semua pihak tanpa rasa takut atau pilih kasih mencerminkan tradisi terbaik solidariti umat Islam dan tanggungjawab antarabangsa. Malaysia bersedia untuk menyokong adan melengkapi segala usaha ke arah ini,” ujarnya.
Tambah beliau, komuniti antarabangsa juga perlu memainkan peranan memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sekatan kepada semua mangsa konflik.
“Semoga ini menjadi titik perubahan ke arah keamanan yang berkekalan. Dunia tidak mampu menerima sebarang kegagalan daripadanya,” katanya.










