Mahkamah Rayuan Tangguh Semakan Bayaran 40% Hasil Sabah

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan sementara pelaksanaan semakan berkaitan pengiraan serta pembayaran hasil Persekutuan kepada Sabah bagi tempoh 47 tahun.

Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan, bersama Datuk Ismail Brahim dan K. Muniandy, selepas mahkamah berpuas hati terdapat keadaan istimewa yang mewajarkan penangguhan sementara sehingga rayuan penuh diputuskan.

Menurut mahkamah, kegagalan membenarkan penangguhan berkenaan boleh memberi kesan prejudis kepada Kerajaan Persekutuan, memandangkan semakan tersebut melibatkan dokumen kewangan yang sangat besar dan kompleks meliputi tempoh panjang dari tahun 1974 hingga 2021.

Permohonan itu difailkan bagi menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebelum ini yang memutuskan kerajaan pusat bertanggungjawab untuk menyemak serta membayar semula tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.

Pada 17 Oktober lalu, Hakim Datuk Celestina Stuel Galid mengarahkan Kerajaan Persekutuan melaksanakan semakan kadar pemberian khas dalam tempoh 90 hari, selain mencapai persetujuan pembayaran dalam masa 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.

Keputusan tersebut dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh Sabah Law Society bersama Kerajaan Negeri Sabah.

Dalam penghakiman itu, mahkamah turut menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bertindak melampaui kuasa perlembagaan serta gagal memenuhi tanggungjawabnya untuk menyalurkan 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah bagi tempoh yang dinyatakan.

BBerkaitan

Latest articles