Flotila GSF Berlayar Tembusi Krisis Gaza

KUALA LUMPUR: Delegasi Global Sumud Flotilla (GSF), yang menghimpunkan lebih 80 kapal dan 1,000 peserta dari seluruh dunia, dijadual berlepas dari Barcelona ke Gaza pada 12 April.

Dalam satu kenyataan hari ini GSF memaklumkan, misi itu bertujuan menentang kepungan Israel ke atas Gaza selain memberikan respons terhadap krisis kemanusiaan dan politik yang semakin meruncing dihadapi rakyat Palestin.

Misi ini menggabungkan usaha terancang yang diselaraskan dengan mobilisasi antarabangsa di darat, menghubungkan solidariti, advokasi undang-undang dan tekanan masyarakat pada peringkat akar umbi yang merentasi pelbagai negara.

“GSF belayar kerana kesan lebih buruk perlu ditanggung jika tidak bertindak. Ketika Gaza berdepan sekatan, keganasan dan penafian yang semakin memuncak, misi ini merupakan intervensi berprinsip dan tanpa kekerasan, mempertahankan maruah manusia, menggesa akses kemanusiaan serta menuntut kebertanggungjawaban antarabangsa.

“Ini untuk mencabar sekatan dan keganasan, serta memperlihatkan tindakan politik dan solidariti yang terselaras di seluruh dunia,” menurut GSF.

Menurut kenyataan itu, misi GSF tahun ini dirancang untuk memberikan impak, dan menyifatkannya sebagai intervensi awam yang disusun rapi pada saat keganasan dan krisis kemanusiaan semakin memuncak.

Misi itu turut disertai petugas awam termasuk doktor, guru dan pembina ekologi, yang bersedia memberikan bantuan segera, perkhidmatan penjagaan komuniti dan pembinaan semula pada peringkat awal bersama-sama dengan rakyat Palestin.

“Ketika armada berlepas, rakan kerjasama dari pelbagai negara bersedia untuk digerakkan secara serentak, memperhebat tekanan politik, perundangan dan akar umbi, meningkatkan keterlibatan dan memperkukuh akauntabiliti di bawah undang-undang antarabangsa serta memperkasakan kempen solidariti global.

“Flotila ini bukan sekadar tindakan maritim, malah pernyataan moral dan politik yang tegas, memperkukuh suara rakyat Palestin serta menunjukkan bahawa sikap tidak bertindak dalam menghadapi keganasan yang semakin memuncak bukan satu pilihan,” menurut GSF.

Misi Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza serta misi GSF itu turut disertai dua petugas Bernama, iaitu wartawan Ahmad Aidil Syukri Hamzah dan jurugambar Zulfadhli Zulkifli. — BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles