Hamzah Kekal Bersama PN, Bayang Sertai ‘Rumah Baharu’ Termasuk PAS

KUALA NERUS: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan beliau tidak akan meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dalam meneruskan perjuangan politiknya buat masa ini, meskipun telah dipecat daripada Bersatu pada Februari lalu.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, komitmennya terhadap PN kekal utuh, malah beliau bertekad untuk terus memperkukuh kedudukan gabungan tersebut di pentas politik negara.

Pada masa sama, Hamzah memberi bayangan kemungkinan menyertai ‘rumah baharu’ dalam tempoh terdekat, namun menjelaskan ia tidak semestinya melibatkan penubuhan parti baharu, sebaliknya boleh juga merujuk kepada penyertaan dalam parti politik sedia ada.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan PAS menjadi platform baharunya, selari dengan landskap politik semasa dan keperluan memperkukuh kerjasama dalam kalangan parti pembangkang.

“Saya terus kekal bersama PN dan komited memperkukuh kedudukan gabungan ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program pidato di Kuala Nerus, Terengganu, malam tadi.

Mengulas dakwaan bahawa tindakannya kekal bersama PN adalah tidak wajar, Hamzah menegaskan beliau masih mendapat sokongan majoriti dalam kalangan Ahli Parlimen Bersatu, dengan 18 daripada 25 wakil rakyat parti itu dilaporkan menyokongnya.

Untuk rekod, Hamzah dipecat daripada Bersatu pada 13 Februari lalu susulan krisis kepimpinan parti, khususnya berkaitan desakan supaya Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan menegaskan bahawa beliau akan menolak sebarang kerjasama sekiranya Hamzah memilih untuk menubuhkan parti baharu dan kembali bekerjasama dengan PN, dengan alasan pengalaman lalu menuntut beliau lebih berhati-hati.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Abdul Aziz mencadangkan agar Hamzah dan kumpulannya mempertimbangkan untuk menyertai gagasan lain seperti Rumah Bangsa dan Kolaborasi Agung yang diilhamkan UMNO, berbanding kembali kepada PN.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Shahidan Kassim pula berpandangan bahawa mana-mana parti baharu yang ingin ditubuhkan Hamzah wajar menyertai gabungan yang kukuh seperti PN bagi memastikan kestabilan dan kekuatan politik pembangkang terus terpelihara.

BBerkaitan

Latest articles