KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) masih belum membuat keputusan muktamad berhubung pelantikan Ketua Pembangkang di Parlimen, susulan beberapa proses dalaman yang masih berjalan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu memerlukan penelitian sebelum keputusan akhir diumumkan kepada umum dalam masa terdekat.
“Kita minta semua pihak bersabar, insya-Allah keputusan akan dibuat tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah & Himpunan Alam Melayu 2026 yang berakhir hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini memaklumkan bahawa pelantikan Ketua Pembangkang masih belum dimuktamadkan.
Menurut Samsuri, kelewatan tersebut bukan berpunca daripada sebarang perbezaan pendapat dalam kalangan pimpinan, sebaliknya PN masih mempunyai ruang masa sebelum sidang Parlimen dijadualkan berlangsung pada Jun depan.
“Kita masih dalam fasa pertimbangan. Apabila semuanya selesai, keputusan akan dimaklumkan,” jelasnya.
Isu pelantikan Ketua Pembangkang menjadi perhatian selepas kedudukan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dipersoalkan berikutan pemecatannya daripada BERSATU, sekali gus mencetuskan desakan agar jawatan itu diisi individu lain.
Dalam perkembangan berasingan, Samsuri turut memaklumkan bahawa satu mesyuarat khas telah diadakan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan situasi ekonomi semasa serta langkah menangani tekanan kos sara hidup.
Beliau menegaskan, kerjasama erat antara kerajaan negeri, Persekutuan dan sektor swasta amat penting bagi mengurangkan kesan tekanan ekonomi terhadap rakyat.
“Semua pihak perlu berganding bahu supaya impak kenaikan kos dapat diminimumkan,” katanya.
Mengulas cadangan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) susulan kenaikan harga bahan api akibat krisis Asia Barat, Samsuri berkata kerajaan negeri masih menilai keperluan tersebut.
Katanya, situasi di Terengganu berbeza berbanding Lembah Klang yang berdepan kesesakan lalu lintas tinggi, sekali gus menyebabkan penggunaan bahan api lebih ketara.
“Setakat ini, kita belum buat keputusan. Perkara ini masih dalam peringkat penilaian,” ujarnya.










