Iran Mahu Hentikan Perang, Tuntut Jaminan Keselamatan

TEHRAN: Iran bersedia menamatkan perang dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, tetapi dengan jaminan supaya konflik itu tidak berulang, tegas Presidennya, Masoud Pezeshkian.

Kenyataan Pezeshkian dibuat selepas sehari serangan hebat ke atas Iran dan susulan amaran keras daripada Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC).

Dalam perbualan telefon dengan Presiden Majlis Eropah, Pezeshkian berkata Iran mempunyai kemahuan yang diperlukan untuk menamatkan konflik itu, dengan syarat tertentu dipenuhi, khususnya jaminan untuk mengelakkan pencerobohan berulang.

Tehran sebelum ini menuntut satu mekanisme bagi menjamin Israel dan AS tidak kembali menyerang sebagai cadangan balas terhadap pelan 15 perkara oleh AS minggu lalu untuk menamatkan perang.

Sebelum ini, IRGC memberi amaran akan bertindak balas terhadap syarikat teknologi AS seperti Google, Meta dan Apple jika lebih ramai pemimpin Iran dibunuh.

IRGC turut mendakwa 18 syarikat, termasuk Intel, Tesla dan firma analitik Palantir, terbabit dalam pembunuhan sebelum ini dan memberi amaran bahawa mereka perlu menjangkakan kemusnahan unit berkaitan sebagai balasan bagi setiap pembunuhan di negara itu.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, Pete Hegseth, yang sebelum ini melawat tentera AS di Asia Barat berkata hari-hari mendatang akan menjadi penentu dalam konflik itu.

“Iran tahu perkara itu, dan hampir tiada apa yang boleh mereka lakukan dari segi ketenteraan,” katanya.

Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump dalam hantaran di platform Truth Social mengkritik sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan negara lain yang enggan membantu AS mengawal laluan Selat Hormuz. – AFP

BBerkaitan

Latest articles