KLANG: Seorang juruteknik berusia 28 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penghantar makanan dalam nahas tragis Ahad lalu yang menggemparkan orang ramai.
Tertuduh, Saktygaanapathy Ravichandran, bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khartiyayini Ambualagan, memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian mangsa, Amirul Hafiz Omar, di Jalan Raya Barat kira-kira jam 11.47 pagi pada 29 Mac lalu.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, manakala tertuduh dilaporkan tidak diwakili peguam.
Dalam perkembangan sama, tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu mengambil dadah jenis benzo dan tetrahydrocannabinol (THC) di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.
Bagi kesalahan itu, dia mengaku bersalah, namun tidak dibenarkan diikat jamin kerana turut berdepan pertuduhan bunuh.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda serta dikenakan perintah pengawasan.
Mahkamah menetapkan 3 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. Turut hadir mengikuti prosiding ialah isteri mangsa, Nor Nadia Abdul Majid, yang sebelum ini meraih perhatian ramai apabila menuntut keadilan atas kematian suaminya.
Dalam kejadian tersebut, mangsa maut di lokasi selepas dirempuh sebuah Honda City yang dipandu tertuduh dalam keadaan laju dari arah Jalan Raya Barat menghala ke bandar Klang. Impak pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak ke atas sebuah kenderaan lain sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Allahyarham kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh, Larut, Perak, dan meninggalkan seorang balu serta tiga anak kecil. Insiden ini mencetuskan kemarahan orang ramai dan turut mendorong Kementerian Pengangkutan Malaysia meneliti cadangan pindaan undang-undang bagi mewajibkan pesalah pemanduan mabuk membayar pampasan kepada keluarga mangsa.










