Biodiesel Sawit Jadi Pemangkin Peralihan Tenaga Negara — Noraini

PUTRAJAYA, Menteri Perladangan dan Komoditi, Noraini Ahmad menegaskan komitmen kukuh kerajaan dalam mempercepatkan peralihan tenaga negara menerusi pembangunan biodiesel berasaskan sawit sebagai sumber tenaga boleh baharu.

Beliau yang mengadakan lawatan kerja rasmi ke loji pengeluaran biodiesel milik SD Guthrie Berhad di Pulau Carey, yang merupakan antara penyumbang utama kepada industri tenaga hijau negara. 

Menurut beliau, fasiliti berkenaan memainkan peranan penting dalam memproses minyak sawit mentah kepada bahan api alternatif yang lebih bersih, selaras dengan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di peringkat global. 

“Penglibatan aktif pemain industri seperti SD Guthrie dalam memperkukuh kapasiti pengeluaran biodiesel adalah langkah progresif yang wajar dipuji. Kerjasama erat antara industri dan dasar kerajaan adalah kunci untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya

Beliau turut menjelaskan bahawa penghasilan biodiesel berasaskan sawit adalah selari dengan Dasar Biobahan Api Negara serta Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021–2030 yang bertujuan meningkatkan nilai tambah sektor agrikomoditi, khususnya kelapa sawit. 

Tambahnya, kapasiti pengeluaran daripada fasiliti berskala besar seperti ini adalah penting bagi memastikan kelangsungan bekalan untuk menyokong mandat penggunaan biodiesel sedia ada, termasuk campuran B20 dalam sektor pengangkutan dan industri. 

Sementara itu, Kementerian Perladangan dan Komoditi berharap lawatan tersebut dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik serta menarik lebih ramai pelaburan dalam teknologi hijau bagi memastikan kelestarian ekonomi dan alam sekitar negara. 

BBerkaitan

Latest articles