JOHOR BAHRU: Seorang wanita yang menggelarkan dirinya sebagai “Ratu Nur Puteri Ratu Balqis” mencetuskan kontroversi apabila tampil dengan pelbagai dakwaan pelik termasuk mengaku pernah menjadi Nabi Muhammad SAW serta ‘dipinjamkan badan oleh malaikat’.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kenyataan itu dikesan menerusi beberapa video tular sejak Jumaat lalu yang mengandungi unsur ajaran menyimpang dan mengelirukan.
Menurutnya, wanita berkenaan turut mendakwa dirinya sebagai “Ruhul Qudus”, “Ruhul Amin” dan “Raja Muhammad”, selain mengeluarkan kenyataan yang dilihat mempersendakan institusi Raja-Raja Melayu.
Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa turut menerima aduan mengenai penyebaran ajaran dikenali sebagai “God, The Mother” yang didakwa sesat melalui risalah di sebuah pusat beli-belah di Kulai pada 26 Mac lalu.
Sehubungan itu, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menegaskan bahawa sebarang ajaran yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah akan ditangani tanpa kompromi.
Tindakan bersepadu kini digerakkan melibatkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), susulan mesyuarat khas membanteras ajaran sesat pada 30 Mac.
Kes berkenaan kini disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Kanun Keseksaan, selain Enakmen Jenayah Syariah Johor.
Semalam, polis turut membuka kertas siasatan terhadap video tular tersebut yang didakwa mengandungi unsur fitnah dan penghinaan terhadap institusi diraja, agama serta pihak berkuasa.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan sebarang ajaran meragukan dan segera melaporkannya kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga keharmonian masyarakat.










