TENOM: Pagi yang sepatutnya tenang bertukar tragedi apabila seorang lelaki bertindak menembak adik kandungnya hingga maut sebelum dia sendiri ditembak mati oleh polis dalam kejadian di Kampung Kangkawang, Jalan Kemabong, kelmarin.
Dalam insiden kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun yang bekerja sebagai pekebun ditemui maut selepas terkena lapan das tembakan di bahagian belakang badan.
Suspek pula, abang mangsa berusia 57 tahun, dipercayai menggunakan senjata buatan sendiri jenis bakakuk dan dilaporkan mempunyai masalah kesihatan mental.
Menurut Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut sekitar jam 8.54 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.
Sebaik tiba, penduduk memaklumkan suspek bersembunyi di dalam rumah sambil memegang senjata api dan mengugut untuk menembak sesiapa sahaja yang menghampiri.
Polis kemudian mengepung kawasan dan mengarahkan suspek menyerah diri sebanyak tiga kali, namun arahan itu tidak diendahkan.
Bagi memaksa suspek keluar, beberapa das gas pemedih mata dilepaskan ke dalam rumah, namun situasi bertukar tegang apabila lelaki itu tiba-tiba menuju ke dapur sambil mengacukan senjata ke arah anggota polis berhampiran tingkap.
Dalam keadaan terancam, polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan mengenai lengan kanan, dada kiri dan rusuk kiri suspek. Lelaki itu akhirnya rebah di dapur sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemeriksaan lanjut mendapati senjata bakakuk yang digunakan masih mempunyai satu butir peluru hidup dalam ruang chamber.
Polis turut merampas beberapa barangan termasuk komponen senjata, peluru, kelongsong serta sebilah parang panjang.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi kesalahan cubaan membunuh.
Siasatan lanjut masih dijalankan.










