Sultan Pahang Tekankan Soal Fardhu Kifayah Dalam Membantu Rakyat

KUANTAN: Tanpa protokol, tanpa ragu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memilih untuk berhenti dan membantu setiap kali terserempak mangsa kemalangan di jalan raya.

Bagi baginda, tindakan itu bukan luar biasa, sebaliknya satu tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan.

“Saya tolong orang sebab Fardu Kifayah,” titah baginda, menegaskan kepentingan membantu mereka yang berada dalam kesusahan, lebih-lebih lagi ketika saat genting.

Menurut baginda, peristiwa membantu mangsa kemalangan bukan sesuatu yang asing.

Malah, baginda berkongsi pernah bertemu semula dengan seorang mangsa yang pernah dibantu sebelum ini, dikenali sebagai Faris Farhan.

“Dia nampak sihat, cuma tangan masih berbalut. Saya ingat lagi, saya bantu angkat dia masuk ke dalam kereta polis dan hantar ke hospital selepas kemalangan motosikal,” titah baginda.

Tambah baginda, bukan sahaja mangsa yang dibantu, malah pemilik kenderaan lain yang terlibat turut dibantu untuk membuat laporan polis.

Baginda menegaskan, dalam situasi kemalangan, soal siapa salah atau betul bukan keutamaan.

“Kalau jumpa orang kemalangan, berhentilah bantu. Itu tanggungjawab kita,” titah baginda lagi.

Titah tersebut dikongsikan menerusi hantaran rasmi Facebook Kesultanan Pahang ketika baginda berkenan berangkat ke Jamuan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Bera dan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) semalam.

Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan rakyat agar penganjuran rumah terbuka dilakukan dengan niat yang ikhlas untuk mengeratkan ukhuwah, bukan sebagai platform menjatuhkan pihak lain.

Sebagai pemerintah, baginda menzahirkan penghargaan terhadap usaha semua pihak dalam mengekalkan keharmonian negeri Pahang, dan berharap ia terus dipelihara untuk generasi akan datang.

BBerkaitan

Latest articles