KUALA LUMPUR: PKR Wilayah Persekutuan bertindak tegas apabila mengarahkan dua individu daripada Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) di Wangsa Maju melepaskan jawatan mereka serta-merta susulan dakwaan terlibat dalam isu ‘wang perlindungan’.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin berkata, keputusan tersebut dibuat selepas penelitian rapi oleh Biro Politik parti terhadap video tular yang mengaitkan dua individu berkenaan.
Menurutnya, cabang Wangsa Maju telah diarahkan untuk segera memaklumkan kepada kedua-dua individu terbabit agar mengosongkan jawatan bagi membolehkan siasatan dijalankan tanpa sebarang gangguan.
“Langkah ini penting bagi memberi ruang sepenuhnya kepada siasatan pihak polis serta siasatan dalaman parti,” katanya dalam satu kenyataan.
Azman menegaskan, PKR tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku termasuk pemerasan dan penyalahgunaan kuasa.
“Tadbir urus bersih bukan pilihan, tetapi prinsip utama parti. Tiada perlindungan akan diberikan kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam amalan tidak berintegriti. Keadilan mesti bermula dari dalam,” tegas beliau.
Dalam perkembangan sama, Biro Politik turut menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memperketat pemantauan terhadap operasi pusat urut di sekitar Wangsa Maju bagi memastikan pematuhan undang-undang serta syarat lesen.
Selain itu, Jawatankuasa Disiplin PKR Wilayah Persekutuan diarahkan menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh, dengan laporan penuh dijangka dibentangkan dalam masa terdekat.
Azman turut mengingatkan bahawa jawatan sebagai wakil penduduk adalah satu amanah besar yang menuntut integriti tinggi.
“Sebarang penyelewengan akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi. PKR kekal komited memperjuangkan tadbir urus bersih, telus dan berakauntabiliti,” katanya lagi.
Terdahulu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial memaparkan dua lelaki yang memperkenalkan diri sebagai wakil MPP didakwa meminta wang daripada sebuah premis pusat urut sebagai ‘perlindungan’ daripada tindakan penutupan susulan aduan penduduk.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menggesa orang ramai tampil menyalurkan maklumat atau aduan kepada Unit Integriti Jabatan Wilayah Persekutuan, DBKL serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat sebarang salah laku melibatkan wakil penduduk atau pegawai di bawah seliaannya.










