AMPANG: Seorang mekanik berusia 51 tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun serta dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya, enam tahun lalu.
Hakim Norshila Kamaruddin memutuskan tertuduh menjalani enam tahun penjara dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan, selain tambahan setahun penjara untuk setiap kesalahan, dengan hukuman berjalan serentak.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan serta pengawasan polis selama dua tahun.
Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi selepas pihak pembelaan mengemukakan faktor kesihatan, manakala pendakwaan turut memfailkan rayuan silang terhadap hukuman.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu sebagai bapa tiri melakukan perbuatan berkenaan terhadap mangsa berusia tujuh tahun di sebuah rumah di Keramat pada Mac 2020, ketika ibu mangsa keluar bekerja.
Kes terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibu tiri sebelum laporan polis dibuat.
Dalam penghakimannya, mahkamah berpuas hati dengan keterangan mangsa yang konsisten dan tidak berjaya disangkal pembelaan, malah tertuduh sendiri mengakui perbuatannya serta memohon maaf kepada ibu mangsa sebelum dihalau keluar dari rumah.










