MELAKA: Niat seorang penduduk untuk berkunjung sempena Aidilfitri bertukar detik pilu apabila jirannya ditemui meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati di sebuah unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, petang semalam.
Mangsa lelaki berusia 42 tahun itu ditemui tidak bernyawa selepas pasukan bomba dipanggil bagi membuka pintu rumahnya yang berkunci dari dalam, susulan kebimbangan jiran yang gagal mendapat respons walaupun berkali-kali memberi salam.
Menurut jiran mangsa, Suffian Abdul Majid, 52, kecurigaan mula timbul apabila seorang penduduk yang datang untuk beraya memaklumkan lelaki itu tidak menyahut panggilan, walaupun kasutnya jelas kelihatan di luar rumah.
Keadaan menjadi semakin mencurigakan apabila bau busuk mula dihidu dari dalam kediaman berkenaan, malah terdapat lalat keluar melalui celahan pintu.
“Saya sendiri periksa dan dapati motosikalnya masih berada di bawah PPR, kasut pula di luar, tetapi dia langsung tidak menyahut. Bau dari dalam rumah sangat kuat,” katanya.
Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, Suffian segera menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.
Difahamkan, mangsa tinggal bersendirian selepas berpisah dengan isterinya dan mempunyai masalah kesihatan termasuk kencing manis, darah tinggi serta penyakit jantung.
Pihak berkuasa percaya lelaki itu telah meninggal dunia kira-kira empat hari sebelum ditemukan, berdasarkan keadaan mayat yang sudah kembung.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.10 petang sebelum sepasukan enam anggota dikerahkan ke lokasi.
“Pasukan berjaya membuka pintu rumah tersebut dan menemukan mangsa telah meninggal dunia. Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.










