JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi menaik taraf sistem keselamatan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara susulan insiden seorang kanak-kanak terjatuh dari tingkat dua sehingga mengalami kecederaan serius, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Mohd Jafni Md Shukor berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk menggantikan kira-kira 2,000 unit jeriji penghadang di kawasan berkenaan, termasuk kemudahan lain yang telah uzur.
Menurutnya, PPR Desa Mutiara yang telah dibina hampir dua dekad lalu merupakan antara projek perumahan tertua di negeri ini, sekali gus tidak terkecuali daripada masalah keusangan serta kerosakan akibat perbuatan vandalisme.
“Kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor mengambil langkah segera dengan menyediakan peruntukan khas, bukan sahaja untuk menggantikan jeriji penghadang, malah turut melibatkan komponen seperti pemegang besi tangga,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan satu penilaian menyeluruh akan dilaksanakan melibatkan kira-kira 15,000 unit kediaman PPR dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di seluruh Johor, khususnya yang telah berusia lebih 15 tahun, bagi memastikan tahap keselamatan penghuni berada pada tahap optimum.
Tambah beliau, reka bentuk baharu jeriji penghadang akan menggunakan kaedah pemasangan lebih kukuh berbanding kaedah lama, iaitu dengan penggunaan skru lantai serta ‘wall plug’ yang dianggarkan mampu menampung beban sehingga 200 kilogram.
Mengulas keadaan mangsa, kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun itu kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi di Hospital Sultanah Aminah selepas mengalami pendarahan dalam kepala, namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil.










