KUALA LUMPUR: Kerajaan meningkatkan perbelanjaan subsidi bahan api secara mendadak daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu susulan lonjakan harga minyak dunia akibat konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga sebenar pasaran, sekali gus melindungi kesejahteraan pengguna dan peniaga tempatan.
Menurut beliau, bantuan tersebut disalurkan melalui inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) serta BUDI Diesel, yang membolehkan majoriti rakyat terus menikmati harga bahan api pada kadar lebih rendah berbanding pasaran global.
“Dalam situasi dunia yang tidak menentu ketika ini, keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas persoalan orang ramai mengenai kesan konflik luar terhadap harga minyak tempatan, Anwar menjelaskan bahawa walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, negara ini sebenarnya bergantung kepada import dalam jumlah yang lebih besar berbanding eksport.
Tambah beliau, gangguan di Selat Hormuz yang menjadi laluan utama penghantaran minyak dunia turut memberi kesan langsung kepada bekalan global.
“Apabila laluan ini terjejas, bekalan menjadi terhad dan harga meningkat. Malaysia tidak terkecuali kerana hampir separuh bekalan minyak negara melalui laluan tersebut,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, kerajaan menegaskan komitmennya untuk terus memantau perkembangan semasa dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kestabilan harga serta melindungi rakyat daripada tekanan kos yang lebih tinggi.










