GEORGE TOWN: Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendedahkan beliau telah menggunakan pelbagai saluran dalaman bagi menangani isu kenaikan cukai tanah sebelum tampil mengkritik pentadbiran negeri secara terbuka.
Menurut beliau, segala usaha tersebut telah dibuat sejak cadangan kenaikan itu dikemukakan tahun lalu, termasuk perbincangan dengan kerajaan negeri dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Namun, selepas tiada penyelesaian dicapai, beliau mengambil keputusan menyuarakan ketidaksetujuan secara terbuka.
Dalam perkembangan sama, satu pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu kini sedang diusahakan oleh Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook bagi meredakan ketegangan serta mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu berkenaan.
Lim turut menegaskan bahawa beliau tidak akan lagi mengeluarkan kenyataan media atau mengadakan sidang akhbar bagi pihak pemilik tanah yang terjejas, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha membantu mereka melalui saluran sedia ada.
Katanya, pejabat beliau sebagai Ahli Parlimen Bagan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih kekal komited membantu pemilik tanah membuat rayuan terhadap kenaikan cukai tersebut, termasuk menyediakan bantuan pengisian borang.
“Sehingga kini, kira-kira 800 pemilik tanah telah dibantu oleh kedua-dua pejabat saya,” katanya.
Sebelum ini, Loke menasihatkan agar perbalahan terbuka antara kedua-dua pemimpin dihentikan kerana disifatkan tidak sihat, selain tidak sesuai dalam menangani perbezaan pandangan berkaitan dasar awam.










