KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia menegaskan tiada layanan berat sebelah diberikan terhadap dua aktivis, Zamri Vinoth dan Arun Dorasamy, sebaliknya semua tindakan diambil berlandaskan undang-undang sedia ada.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, menjelaskan perbezaan yang dilihat orang ramai adalah berpunca daripada jenis kesalahan yang disiasat, bukan layanan berbeza oleh pihak berkuasa.
Menurut beliau, kedua-dua individu terbabit pada peringkat awal ditahan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan, namun terdapat juga siasatan melibatkan kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948.
“Setiap kes berbeza, ada yang boleh dijamin dan ada yang tidak. Apa yang dilaksanakan adalah selaras dengan peruntukan undang-undang,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Isu berkenaan tercetus selepas orang ramai membandingkan situasi kedua-dua aktivis ketika hadir ke mahkamah.
Zamri dilihat digari dan dikawal ketat di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, manakala Arun hadir tanpa gari ke Mahkamah Majistret Jawi dengan ditemani M Kulasegaran.
Mengulas perkembangan semasa, Mohd Khalid turut memberi amaran bahawa polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan ketegangan kaum atau melakukan provokasi, khususnya berkaitan isu sensitif seperti rumah ibadat.
Beliau berkata, pihaknya kini memantau rapi peningkatan polemik melibatkan dakwaan pembinaan kuil tanpa kelulusan yang berpotensi mencetuskan konflik.
“PDRM komited memastikan keamanan negara terpelihara. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau menyambut baik inisiatif dialog antara komuniti Melayu dan India melalui program harmoni yang dianjurkan NGO, dan berharap pendekatan tersebut mampu meredakan ketegangan serta memperkukuh perpaduan nasional.
“Kita mahu setiap isu diselesaikan secara matang melalui dialog, bukan provokasi,” katanya.










