KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia mempergiat siasatan berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan apabila 14 lagi individu dikenal pasti untuk dipanggil memberi keterangan dalam masa terdekat.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, menegaskan langkah itu penting bagi melengkapkan siasatan sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menurut beliau, proses rakaman percakapan masih berjalan dan pihaknya akan memastikan semua individu berkaitan dipanggil tanpa mengira latar belakang.
“Lebih kurang 14 individu lagi akan dirakam keterangan. Selepas selesai, kita akan kumpulkan semua dapatan sebelum dihantar kepada AGC untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Mengulas spekulasi penglibatan individu tertentu termasuk ahli keluarga tokoh berpengaruh, beliau memilih untuk tidak mendedahkan sebarang nama atas faktor siasatan yang masih berlangsung.
“Semua yang berkaitan ada dalam senarai. Buat masa ini, saya tidak mahu menamakan sesiapa,” tegasnya.
Setakat ini, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah mengambil beberapa keterangan penting bagi mengukuhkan siasatan kes yang didakwa melibatkan usaha mensabotaj kestabilan negara.
Kes berprofil tinggi itu tercetus susulan satu laporan polis yang dibuat di IPD Brickfields, yang kemudiannya tular di media sosial.
Laporan berkenaan mendakwa wujud komplot didalangi sebuah keluarga berpengaruh tempatan dengan menggunakan jaringan media antarabangsa serta pelobi luar negara.
Pengadu turut mendakwa gerakan tersebut membabitkan individu yang mempunyai kaitan rapat dengan seorang bekas menteri yang pernah berpengaruh dalam politik dan ekonomi negara.
Dalam perkembangan berkaitan, peguam Nizamuddin Hamid sebelum ini telah dipanggil untuk dirakam keterangan, selain turut dinamakan dalam laporan polis tersebut bersama seorang lagi peguam, Amir Zharif Abdullah.
Bagaimanapun, Nizamuddin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas serta berniat jahat.










