SEBERANG JAYA: Seorang pekerja taman asuhan kanak-kanak (taska) dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh bayi lelaki berusia empat bulan, awal bulan ini.
Tertuduh, Nur Farhana Fazmar Abdullah, 22, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menyebabkan kematian bayi lelaki, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, anak kepada Ummu Habibah Wahab, 29, di sebuah taska dalam kawasan Hospital Seberang Jaya antara jam 1 hingga 4 pagi pada 9 Mac lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Jun depan bagi penyerahan laporan kimia dan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhaimin Hashim.
Dalam perkembangan sama, seorang lagi wanita berusia 22 tahun yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan dibebaskan dengan jaminan RM10,000 oleh mahkamah.
Media sebelum ini melaporkan polis mengesahkan punca kematian bayi berkenaan adalah akibat lemas berdasarkan hasil bedah siasat.
Mangsa dilaporkan ditemui tidak sedarkan diri di taska berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 4.20 pagi ketika menerima rawatan.










