Empat Pemimpin Melayu DAP Tegur Kehadiran Kulasegaran Di Mahkamah

KUALA LUMPUR: Empat pemimpin Melayu daripada DAP tampil menyuarakan ketidaksetujuan terhadap tindakan Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, M. Kulasegaran yang hadir ke Kompleks Mahkamah Jawi, Pulau Pinang bagi bertemu seorang aktivis, semalam.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti, Sheikh Umar Bagharib Ali, Young Syefura Othman dan Syahredzan Johan, bersama Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.

Menurut mereka, meskipun menghormati Kulasegaran sebagai tokoh lama parti, kehadirannya di mahkamah dalam kapasiti sebagai anggota pentadbiran kerajaan berpotensi mencetuskan polemik awam, khususnya melibatkan persepsi terhadap kebebasan dan integriti sistem kehakiman.

Mereka menegaskan bahawa jawatan dalam kerajaan menuntut tahap kepekaan yang tinggi, apatah lagi dalam isu yang berkait rapat dengan prinsip keadilan.

Tegas mereka, keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, malah perlu dilihat dilaksanakan oleh masyarakat.

Sebelum ini, Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat menjelaskan bahawa kehadirannya di mahkamah hanyalah singgah seketika untuk bertemu aktivis berkenaan di luar bilik perbicaraan.

Katanya, pertemuan itu bertujuan memberi kata-kata semangat serta menekankan kepentingan kepercayaan terhadap proses undang-undang ketika individu tersebut bersedia menghadapi prosiding seterusnya.

Dalam perkembangan sama, aktivis berkenaan, Arun Dorasamy telah didakwa di Mahkamah Majistret Jawi atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam.

Lelaki berusia 56 tahun itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya sekitar Mac tahun lalu di kawasan IKEA Batu Kawan.

Mengulas lanjut, keempat-empat pemimpin DAP itu turut menegaskan bahawa parti tidak pernah membuat sebarang keputusan rasmi untuk menyokong atau menunjukkan kecenderungan terhadap kes melibatkan aktivis tersebut.

Mereka menambah, sebarang tindakan bersifat solidariti oleh mana-mana pihak tidak mencerminkan pendirian rasmi parti.

Dalam pada itu, mereka mengingatkan bahawa DAP perlu terus berpegang kepada pendekatan seimbang iaitu mempertahankan prinsip “tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah” sambil menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.

Pada masa sama, mereka menegaskan pentingnya mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan persepsi campur tangan atau keberpihakan dalam sistem keadilan negara.

BBerkaitan

Latest articles