Petronas Dapat Kebenaran Rujuk Isu Kawal Selia Petroleum Sarawak

Selain itu, Petronas juga secara alternatif memohon perisytiharan sama ada Badan Perundangan Negeri Sarawak telah bertindak melangkaui kuasanya apabila mentakrifkan “territory of the State” termasuk kawasan seperti yang ditakrifkan oleh Perintah Sarawak (Perubahan Sempadan) 1954 untuk merangkumi pelantar benua.

PETRONAS juga memohon perisytiharan sama ada undang-undang bertulis, perundangan subsidiari, instrumen, keputusan atau tindakan pentadbiran yang digubal, dibuat atau dikeluarkan oleh Badan Perundangan Negeri Sarawak yang memberi kesan kepada atau bergantung kepada Perintah Sarawak (Perubahan Sempadan) 1954, adalah tidak sah.

Antara alasan yang dinyatakan dalam permohonan itu ialah, undang-undang berkenaan sudah diatasi oleh undang-undang Persekutuan, dan ia berkaitan dengan hal perkara di bawah Senarai Persekutuan.

PETRONAS menyatakan, apa-apa tuntutan sah terhadap pelantar benua hanya boleh menjadi tuntutan terhadap hak kedaulatan ke atas sumber pelantar benua dan bukannya tuntutan terhadap kedaulatan penuh ke atas wilayah pelantar benua tersebut.

Selain itu, PETRONAS berkata, fakta yang didedahkan dalam perkara berkenaan telah menimbulkan suatu pertikaian antara Persekutuan dan Negeri.

Sementara itu, peguam PETRONAS, Datuk Dr Cyrus Das berhujah, undang-undang yang dipertikaikan itu
melanggar dan betentangan Item 1 Senarai Persekutuan, dan pihaknya berjaya menunjukkan terdapat kes yang cukup kukuh untuk diperdebatkan dan dipertimbangkan secara serius oleh mahkamah.

Beliau berkata, sekiranya Badan Perundangan Negeri Sarawak dibenarkan menggubal undang-undang melangkaui bidang kuasa perlembagaannya termasuk dalam perkara yang diperuntukkan kepada Parlimen, ia akan mengakibatkan pengurangan pembahagian kuasa Persekutuan.

“Pencerobohan berulang ke dalam bidang kuasa Persekutuan berisiko menormalkan andaian bahawa sesebuah negeri boleh mengabaikan had perlembagaan apabila ia tidak bersetuju dengan dasar Persekutuan,”katanya.

Bagaimanapun, Fong dalam hujahannya berkata, permohonan kebenaran itu perlu ditolak okeh mahkamah kerana tiada sebarang isu yang boleh dipertikaikan.

Beliau berkata, penggubalan undang-undang yang dipertikaikan oleh PETRONAS tidak menceroboh kuasa Kerajaan Persekutuan.

Katanya, sama ada undang-undang berkenaan mempunyai kesan mengubah sempadan Sarawak hendaklah ditentukan di mahkamah bawahan (Mahkamah Tinggi Sarawak) kerana Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa eksklusif.

BBerkaitan

Latest articles