Madinatul Al-Quran: Anwar Mahu Jadikan Pusat Pengajian, Percetakan Mushaf Terbesar Serantau

PUTRAJAYA: Kerajaan merancang menubuhkan sebuah kompleks keilmuan Islam berskala besar dikenali sebagai Madinatul Al-Quran, yang bakal menghimpunkan pusat pengajian serta institusi penyelidikan al-Quran utama di rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha merealisasikan projek berkenaan akan dimulakan melalui perbincangan bersama beberapa pihak berkaitan dalam masa terdekat.

Menurut beliau, kompleks tersebut bukan sekadar pusat pembelajaran, malah akan turut menempatkan kemudahan percetakan mushaf al-Quran bagi keperluan serantau.

Beliau memaklumkan perbincangan lanjut akan diadakan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Dr Abdul Latiff Mirasa bagi memperhalusi pelaksanaan projek berkenaan.

“Dalam satu dua hari ini saya akan berbincang dengan saudara Latiff. Idea ini dicetuskan oleh Fadillah dan kita mahu ia berkembang sebagai projek besar umat Islam, bukan sahaja untuk Malaysia tetapi juga masyarakat Islam di peringkat antarabangsa.

“Ia bukan sekadar gedung atau bangunan, tetapi merangkumi pengisian ilmu yang jauh lebih luas daripada yang dirancang,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Mushaf Malaysia MADANI di Kompleks Nasyrul Quran hari ini.

Dalam usaha memperkukuh projek tersebut, kerajaan turut merancang menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta beberapa universiti tempatan bagi memperkasa penyelidikan dan pengajian al-Quran.

Mushaf Malaysia MADANI yang dilancarkan pada majlis berkenaan merupakan antara mushaf hibrid terawal di negara ini. Ia menggabungkan keindahan seni khat dan seni Islam dengan inovasi digital sebagai sebahagian daripada program tadabbur al-Quran peringkat kebangsaan.

Pada acara sama, Perdana Menteri turut melancarkan kontena al-Quran wakaf di bawah Projek Wakaf Satu Juta al-Quran yang mengandungi naskhah al-Quran berserta terjemahan dalam beberapa bahasa seperti Sepanyol, Inggeris dan Perancis untuk komuniti Islam di Kanada dan Amerika Syarikat.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan kemajuan teknologi dan pembangunan tidak akan membawa makna sekiranya masyarakat kehilangan nilai kemanusiaan serta akhlak yang menjadi asas pembinaan tamadun.

Menurutnya, kerajaan MADANI berpegang kepada landasan agama dan akidah sebagai asas untuk memartabatkan negara dari sudut ekonomi dan sosial.

“Al-Quran adalah paksi keyakinan umat manusia yang membimbing kita membezakan antara yang makruf dan mungkar. Namun ia hanya dapat dihayati melalui ilmu serta tadabbur yang mendalam,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa walaupun pertembungan ideologi sukar dielakkan, pembinaan generasi masa depan perlu terus berteraskan nilai dan panduan yang berpaksikan al-Quran.

BBerkaitan

Latest articles