PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya warga asing boleh mendapatkan rawatan secara percuma di hospital kerajaan tanpa sebarang bayaran.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihak kementerian memandang serius dakwaan tersebut walaupun kesahihannya masih belum dapat dipastikan.
Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi meneliti perkara itu secara menyeluruh.
Beliau berkata, maklumat yang didedahkan termasuk sekiranya ia datang daripada pemberi maklumat perlu dihormati, namun pada masa sama kesahihannya perlu disemak terlebih dahulu.
“Buat masa ini kita belum dapat memastikan sama ada dakwaan itu benar atau tidak, tetapi perkara ini penting untuk disiasat secara terperinci. Dalam masa yang sama, identiti pemberi maklumat juga perlu dilindungi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program ‘Kembara Beraya Bersama Cik Era dan Pelancaran Cik Era (AI Assistant di portal JomQuit KKM)’ hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan bahawa warga asing yang tidak mempunyai pasport boleh menerima rawatan percuma di hospital kerajaan dengan hanya mengisi borang Lampiran A.
Malah, ada pihak mendakwa tindakan itu membolehkan mereka mengelak bayaran rawatan yang sepatutnya mencecah sehingga RM2,800.
Susulan itu, sebahagian warga maya mencadangkan agar pegawai imigresen ditempatkan di hospital kerajaan bagi memantau kemasukan warga asing mendapatkan rawatan.
Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly menjelaskan semua pesakit warga asing sebenarnya diwajibkan membayar deposit sebelum dimasukkan ke wad di hospital kerajaan.
Menurutnya, kadar deposit bagi rawatan biasa di wad kelas tiga ialah RM1,400, manakala kes yang melibatkan pembedahan termasuk prosedur seperti pembedahan caesarean memerlukan deposit sebanyak RM2,800.
“Bayaran deposit ini perlu dijelaskan sebelum pendaftaran kemasukan ke wad dilakukan dan ia merupakan prosedur operasi standard yang tidak boleh dikompromi,” katanya.
Tambah beliau, pemegang kad pelarian daripada United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) hanya layak menerima potongan sebanyak 50 peratus daripada kadar deposit tersebut.
Dalam masa sama, pengecualian deposit hanya diberikan kepada warga asing yang mempunyai perlindungan insurans kesihatan seperti Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) atau skim insurans perubatan pelarian.
Dr. Dzulkefly turut menjelaskan SPIKPA ialah skim insurans kesihatan wajib bagi pekerja asing di Malaysia yang menampung kos rawatan kemasukan ke hospital kerajaan.
Namun, ia tidak bermaksud rawatan diberikan secara percuma sepenuhnya kerana sebarang kos yang melebihi had perlindungan masih perlu dibayar oleh pesakit.
Beliau turut memperjelaskan bahawa penggunaan borang Lampiran A sebenarnya hanya terpakai dalam situasi kecemasan yang melibatkan ancaman terhadap nyawa pesakit.
Katanya, prosedur itu membolehkan pesakit menerima rawatan segera di Jabatan Kecemasan dan Trauma tanpa perlu menunggu bayaran deposit bagi tujuan resusitasi serta menstabilkan keadaan mereka.
“Lampiran A hanya menangguhkan bayaran deposit supaya rawatan kecemasan boleh diberikan segera untuk menyelamatkan nyawa. Selepas pesakit stabil, proses pembayaran tetap akan diteruskan,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, amalan tersebut dilaksanakan di semua fasiliti kesihatan serta pusat trauma di bawah KKM di seluruh negara.
Sehubungan itu, Dr. Dzulkefly memaklumkan beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Kesihatan dan pengurusan tertinggi kementerian meneliti secara terperinci laporan yang tular berkenaan sebelum perbincangan lanjut dibuat bagi memastikan fakta sebenar diperoleh.










