KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan mendakwa memiliki bukti bergambar yang menunjukkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengacukan pistol ketika operasi serbuan di kediamannya, sekali gus menafikan kenyataan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, yang sebelum ini menegaskan tiada pegawai bertindak sedemikian.
Individu berkenaan, Albert Tei Jiann Cheing, berkata gambar tersebut diterimanya pada Isnin lalu kira-kira pukul 6 petang ketika berada di pejabatnya di Puchong.
Menurutnya, imej itu memperlihatkan dua pegawai SPRM berada di halaman rumahnya dengan salah seorang daripadanya jelas memegang pistol yang diacukan ke hadapan semasa operasi dijalankan.
Albert mendakwa gambar berkenaan berkemungkinan diambil daripada rakaman kamera badan (bodycam) yang dipakai pegawai penguat kuasa ketika serbuan tersebut berlaku.
“Saya percaya gambar ini diambil daripada bodycam kerana di kawasan itu tidak ada kamera litar tertutup.
“Malah, perakam CCTV rumah saya juga telah dirampas oleh SPRM ketika operasi itu,” katanya dalam sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat.
Menurutnya, sehingga kini sudah lebih 100 hari berlalu sejak serbuan itu dilakukan, namun perakam CCTV miliknya masih belum dipulangkan dan tiada penjelasan diberikan oleh pihak berkuasa.
Albert turut mendakwa gambar tersebut dihantar kepadanya melalui satu nombor telefon dari Kemboja.
Individu yang menghantarnya juga didakwa turut merakam imej anjing peliharaannya jenis German Shepherd sebagai bukti bahawa gambar tersebut benar-benar diambil di kediamannya.
Beliau percaya hanya pegawai yang terlibat dalam operasi berkenaan berkemungkinan mempunyai akses kepada imej tersebut, sekali gus menimbulkan kemungkinan ada pihak cuba membocorkan maklumat mengenai apa yang berlaku ketika serbuan.
Susulan itu, Albert memaklumkan bahawa beliau telah membuat laporan polis semalam dan meminta siasatan menyeluruh dijalankan, termasuk kemungkinan wujud usaha untuk menyembunyikan salah laku oleh pihak tertentu.
Pada masa sama, beliau mencabar SPRM untuk mendedahkan kandungan telefon bimbitnya yang dirampas semasa serbuan bagi membuktikan dakwaan bahawa beliau pernah dihubungi oleh pihak berkuasa sebelum ini.
“Telefon dan iPad saya dirampas semasa serbuan. Jika benar saya dihubungi, dedahkan sahaja kandungan telefon dan WhatsApp saya,” katanya.
Albert turut mendakwa terdapat sekurang-kurangnya empat hingga lima pegawai memakai bodycam sepanjang operasi tersebut dan menggesa agar semua rakaman itu didedahkan kepada umum.
Beliau menegaskan bersedia berdepan sebarang tindakan undang-undang sekiranya dakwaannya didapati tidak benar, namun menuntut agar semua bukti termasuk rakaman bodycam serta perakam CCTV rumahnya didedahkan kepada masyarakat.
Dalam perkembangan sama, Albert turut mendesak Azam meletakkan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, dengan alasan pelbagai dakwaan salah laku yang menurutnya boleh menjejaskan kredibiliti institusi antirasuah negara itu.










