Dividen LTAT Cecah 5.35% – Tertinggi Dalam 8 Tahun, Lebih RM524 Juta Agihan Kepada Warga ATM

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.35 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, sekali gus menjadi kadar tertinggi dicatatkan dalam tempoh lapan tahun dengan jumlah agihan mencecah RM524.74 juta kepada para pencarum.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pencapaian tersebut membuktikan prestasi kewangan LTAT kekal kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global sepanjang tahun lalu.

Menurut beliau, LTAT berjaya mengekalkan kedudukan kewangan yang stabil dengan merekodkan pendapatan boleh diagihkan sebanyak RM541.5 juta, selain menjana pendapatan pelaburan berjumlah RM749.5 juta.

“Lebih membanggakan, Dana Rizab LTAT meningkat kepada RM1.3 bilion berbanding RM1 bilion pada tahun sebelumnya, sekali gus memperlihatkan pengukuhan kedudukan kewangan dana ini demi melindungi kepentingan pencarum yang terdiri daripada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2025 yang berlangsung di Royale Chulan Kuala Lumpur, hari ini.

Pengisytiharan dividen berkenaan turut menandakan tahun keempat berturut-turut LTAT mengekalkan kadar dividen pada paras lima peratus, sekali gus mencerminkan strategi pelaburan yang berdisiplin serta keupayaan dana itu mengoptimumkan portfolio dalam suasana ekonomi yang sentiasa berubah.

Majlis tersebut turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, dan Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled memaklumkan LTAT terus memperkemas portfolio pelaburannya dengan memastikan setiap pelaburan diteliti secara menyeluruh, di samping memperbaiki kelemahan serta memperkukuh tadbir urus syarikat di bawah kumpulan itu.

Antara perkembangan positif yang diketengahkan ialah prestasi Pharmaniaga Berhad, yang mencatat keuntungan selepas cukai RM8.7 juta bagi suku keempat 2025, meningkat berbanding RM2.4 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

“Ini merupakan suku kelapan berturut-turut Pharmaniaga mencatat keuntungan, dan syarikat kini berada pada landasan kukuh untuk keluar daripada status PN17 dalam masa terdekat.

“Perkembangan ini membuktikan usaha pemulihan serta pemantauan yang dilaksanakan LTAT berkesan, selain mencerminkan transformasi yang sedang dilaksanakan bagi memperkukuh prestasi syarikat-syarikat di bawah kumpulan,” katanya.

Pada majlis sama, Mohamed Khaled turut melancarkan tiga inisiatif baharu LTAT, iaitu Program Affin LTAT Affiliated Debit Mastercard, Kempen Bersama Wira 2.0, serta penambahbaikan aplikasi MyWIRA 2.0.

Menurutnya, langkah tersebut bertujuan meningkatkan literasi kewangan selain memperluas akses perkhidmatan digital kepada warga ATM dan para pencarum LTAT.

BBerkaitan

Latest articles