KUALA LUMPUR: Dunia intelektual Islam kehilangan seorang tokoh besar apabila ilmuwan tersohor, Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, dilaporkan meninggal dunia pada jam 6.47 petang Ahad pada usia 94 tahun.
Berita pemergian sarjana berpengaruh itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menerusi satu hantaran di Instagram.
Menurut beliau, pemergian tokoh berkenaan merupakan kehilangan besar bukan sahaja kepada negara, malah kepada seluruh dunia Islam kerana sumbangannya yang amat besar dalam bidang pemikiran, ilmu dan pembinaan peradaban.
Zulkifli menyifatkan Allahyarham sebagai seorang mujaddid dan cendekiawan yang memainkan peranan penting dalam menghidupkan kembali tradisi ilmu serta adab dalam wacana intelektual Islam.
Katanya, idea dan perjuangan Syed Muhammad Naquib turut memberi kesan besar kepada pembangunan institusi pendidikan dan gerakan intelektual di Malaysia, termasuk penglibatannya dalam penubuhan organisasi seperti Angkatan Belia Islam Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Institut Alam dan Tamadun Melayu serta International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC).
Walaupun negara kini berduka dengan kehilangan tokoh ilmuwan berkaliber itu, Zulkifli berkata legasi ilmu dan pemikirannya akan terus menjadi panduan kepada generasi akan datang.
Difahamkan, jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid At-Taqwa TTDI pada pagi ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Pada Oktober 2024, Sultan Ibrahim telah mengurniakan gelaran Profesor Diraja kepada Syed Muhammad Naquib sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besarnya kepada negara, khususnya dalam pembangunan pendidikan dan pemikiran Islam.
Gelaran Profesor Diraja merupakan anugerah akademik tertinggi yang boleh diberikan kepada seorang profesor oleh Yang di-Pertuan Agong.










