Amanah Mahu Musyawarah Parti Melayu-Islam Diteruskan, Seru Politik Lebih Matang, Inklusif

KUALA LUMPUR: Amanah berharap musyawarah melibatkan lapan parti politik Melayu-Islam yang berlangsung baru-baru ini tidak terhenti sekadar satu pertemuan, sebaliknya diteruskan sebagai platform dialog yang lebih luas dan berterusan.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Abd Samad, berkata perbincangan seperti itu wajar dikekalkan dan diperluaskan dengan penyertaan lebih banyak parti politik bagi memupuk budaya politik yang lebih inklusif, matang serta beradab.

Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada UMNO khususnya Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang mempengerusikan pertemuan berkenaan.

Menurut Khalid, walaupun wujud perbezaan pandangan politik antara parti, Amanah melihat musyawarah itu sebagai ruang penting untuk mengetengahkan agenda membina masyarakat Melayu yang bermaruah melalui pendekatan politik nilai.

Beliau menjelaskan konsep “Melayu bermaruah” merujuk kepada masyarakat yang yakin dengan jati diri serta nilai Islam, berintegriti dalam kepimpinan, berani mempertahankan kebenaran dan berusaha memajukan bangsa melalui ilmu, kecekapan serta tadbir urus yang bersih.

“Matlamatnya adalah untuk memastikan orang Melayu maju dengan keyakinan diri, bukan digerakkan oleh naratif ‘Melayu terancam’ yang sering digunakan untuk menimbulkan ketakutan dalam masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah beliau, kedudukan Islam, orang Melayu dan bumiputera sebenarnya telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, justeru tidak wajar politik negara terus dibayangi sentimen ketakutan dan kebencian.

Sebaliknya, katanya, prinsip Islam menuntut politik digerakkan secara positif bagi membina masyarakat serta memimpin ke arah kebaikan bersama.

Menurut Khalid lagi, pembinaan jati diri Melayu tidak sepatutnya berasaskan politik ketakutan, sebaliknya perlu dipupuk melalui keyakinan diri, ilmu dan kematangan berfikir.

“Apabila masyarakat dibentuk melalui emosi dan ketakutan, mereka mungkin setia tetapi tidak berfikir secara kritikal, patuh tetapi kurang daya saing, serta lebih mudah menyalahkan pihak lain berbanding memperbaiki diri,” ujarnya.

Beliau menegaskan Amanah yang berteraskan nilai Islam rahmah melihat dialog antara parti seperti itu sebagai langkah positif untuk meningkatkan persefahaman serta mencari titik persamaan antara pelbagai pihak.

Usaha memperkasakan umat Islam dan masyarakat bumiputera, katanya, perlu digerakkan melalui idea, dasar dan penyelesaian yang konstruktif, bukannya melalui sentimen emosi atau politik perkauman sempit yang akhirnya memecah-belahkan masyarakat.

Terdahulu, pemimpin daripada lapan parti politik Melayu-Islam mengadakan musyawarah pertama bagi membincangkan isu berkaitan Islam, Melayu dan bumiputera di ibu pejabat UMNO di sini.

Pertemuan itu melibatkan wakil daripada PAS, PKR, Amanah, Parti Gagasan Rakyat Sabah, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia, Parti Keadilan Insan Tanah Air serta beberapa parti lain.

Musyawarah tersebut merupakan inisiatif yang digagaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi menghimpunkan parti-parti politik daripada blok kerajaan dan pembangkang untuk membincangkan isu kepentingan umat Islam serta masyarakat bumiputera.

BBerkaitan

Latest articles