KUALA LUMPUR: Pasukan Pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes Saman Sivil SRC memperjelaskan beberapa aspek penting berkaitan testimoni bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dalam prosiding saman sivil yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi di sini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Tetauan Shafee And Co tersebut, laporan media mutakhir mengenai keterangan Shahrol Azral didakwa tidak menggambarkan keseluruhan konteks prosiding kerana beberapa konsesi penting yang muncul semasa pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan pada 4 dan 5 Mac lalu tidak turut dilaporkan.
Kenyataan itu menyatakan bahawa berdasarkan transkrip rasmi mahkamah, beberapa perkara utama telah direkodkan sepanjang sesi pemeriksaan balas.
Antaranya, apabila ditanya secara langsung sama ada bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil, bertindak sebagai proksi kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Shahrol Azral dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Selain itu, pihak pembelaan juga berhujah bahawa ahli-ahli lembaga pengarah SRC yang telah memberi keterangan setakat ini bertindak berdasarkan representasi yang dibuat oleh Nik Faisal tanpa pengesahan bebas daripada Najib.
Bagi memastikan orang awam menerima gambaran yang tepat mengenai prosiding mahkamah, kami ingin mengetengahkan fakta-fakta berikut yang telah direkodkan dalam transkrip rasmi:
a) Apabila ditanya secara terus sama ada Nik Faisal merupakan proksi kepada Dato’ Sri Najib, Datuk Shahrol enggan bersetuju;
b) Pihak pembelaan telah membuktikan bahawa ahli-ahli lembaga pengarah SRC yang telah memberi keterangan setakat ini, bertindak sepenuhnya berdasarkan representasi yang dibuat oleh Nik Faisal yang tidak disahkan secara bebas dengan Dato’ Sri Najib. Pihak pembelaan mengambil maklum bahawa tindakan bergantung kepada dakwaan Nik Faisal mengenai apa yang kononnya dikatakan oleh Perdana Menteri adalah merupakan “khabar angin” (hearsay) dan/atau “khabar angin berganda” (double hearsay);
c) Saksi-saksi yang telah memberi keterangan setakat ini mengakui bahawa walaupun mempunyai peluang untuk bercakap dengan Dato’ Sri Najib, tiada sebarang percubaan dibuat untuk mengesahkan secara bebas arahan-arahan yang
disampaikan oleh Nik Faisal;
d) Selain itu, laporan media juga gagal menyebut bukti daripada kenyataan SPRM Nik Faisal pada tahun 2015. Dalam kenyataan tersebut, Nik Faisal menegaskan bahawa beliau dilantik oleh 1MDB, dan proses pelaporan bagi SRC adalah satu proses rasmi yang disalurkan kepada “Urus setia MKD”. Proses rasmi ini secara langsung menyangkal naratif bahawa beliau melapor terus kepada Dato’ Sri Najib.
Sehubungan itu, Pasukan itu turut menggesa pihak media supaya melaporkan perkembangan prosiding mahkamah dengan mengambil kira konteks penuh berdasarkan rekod rasmi mahkamah bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang mengelirukan berkaitan isu tadbir urus SRC International.
Prosiding saman sivil SRC International terhadap Najib Razak dan beberapa pihak lain masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.










