KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran bahawa pembunuhan beberapa pemimpin tertinggi Iran, termasuk tokoh utama negara itu, Almarhum Ali Khamenei berpotensi menjerumuskan Asia Barat ke dalam fasa ketidaktentuan yang serius dan berpanjangan.
Menurut beliau, perkembangan tersebut bukan sahaja meningkatkan ketegangan geopolitik di rantau berkenaan, malah berisiko mencetuskan konflik lebih luas sekiranya tidak ditangani secara berhati-hati oleh semua pihak.
Anwar berkata, Malaysia menyeru semua negara berkaitan supaya segera meredakan ketegangan dan menghentikan sebarang bentuk serangan yang boleh memperburuk keadaan.
“Semua pihak perlu menurunkan suhu ketegangan serta mengelakkan tindakan yang boleh mencetuskan ketidakstabilan lebih besar, bukan sahaja di Asia Barat tetapi juga melangkaui rantau itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memaklumkan bahawa perbincangan mengenai situasi yang semakin meruncing di Asia Barat telah diadakan bersama rakan pemimpin antarabangsa, dengan fokus kepada langkah bagi mengelakkan konflik daripada terus memuncak.
Menurut Anwar, mereka sependapat bahawa semua pihak perlu menunjukkan tahap kawalan diri yang tinggi serta kebijaksanaan dalam membuat keputusan demi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
“Kami senada bahawa setiap pihak harus bertindak dengan kawalan diri dan kebijaksanaan tertinggi supaya ketegangan tidak terus meningkat,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau turut menyentuh perkembangan berkaitan isu Palestin yang terus menjadi perhatian masyarakat antarabangsa.
Anwar menzahirkan penghargaan kepada Türkiye serta beberapa negara lain yang secara terbuka mengutuk tindakan Israel memperluaskan penempatan haram di Tebing Barat.
Tegasnya, pendirian Malaysia kekal konsisten bahawa tindakan rejim Zionis tersebut merupakan pencabulan jelas terhadap undang-undang antarabangsa.
“Pendekatan berasaskan dialog dan diplomasi mesti diutamakan bagi memastikan keamanan serantau dapat dipelihara,” katanya.










