SPRM Siasat Rundingan RM11 Bil Pengambilalihan IJM Oleh Sunway

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sedang meneliti cadangan pengambilalihan IJM Corporation Bhd oleh Sunway Bhd, dalam siasatan terbaharu yang memberi tumpuan kepada kemungkinan wujud unsur rasuah serta isu tadbir urus korporat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan itu merupakan satu daripada tiga kertas siasatan yang sedang berjalan melibatkan IJM.

Menurut beliau, siasatan pertama berkait dakwaan pengubahan wang haram membabitkan pelaburan kira-kira RM2.5 bilion di United Kingdom.

Pihaknya kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa negara berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Kita berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa UK dan pada masa sama menerima input daripada mereka. Setakat ini, belum ada sebarang kesimpulan dibuat,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM.

Satu lagi siasatan pula menyentuh dakwaan rasuah membabitkan sebuah projek tertentu.

Difahamkan, pengerusi IJM sudah dipanggil memberi keterangan dan siasatan masih di peringkat awal serta dijangka mengambil masa.

Dalam perkembangan terbaharu, SPRM turut meneliti secara terperinci cadangan pengambilalihan IJM oleh Sunway, khususnya dari sudut ketelusan, kepentingan pemegang saham termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), serta implikasi terhadap dana awam.

“Kita melihat semua aspek kerana ia melibatkan kepentingan awam dan pemegang saham institusi,” jelas Azam.

Pada 12 Januari lalu, Sunway mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat bagi keseluruhan 3.51 bilion saham IJM pada harga RM3.15 sesaham.

Jika diterima sepenuhnya, urus niaga itu dianggarkan bernilai sekitar RM11 bilion dan akan diselesaikan melalui gabungan pembayaran tunai serta penerbitan saham baharu Sunway.

Cadangan berkenaan dijangka dimuktamadkan menjelang suku ketiga 2026, tertakluk kepada kelulusan dan penerimaan pemegang saham.

Sebelum ini, IJM menafikan sebarang dakwaan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dua individu yang mempunyai hubungan dengan syarikat itu, termasuk pengerusinya.

Sementara itu, Pengerusi Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah menegaskan tawaran tersebut dibuat atas dasar pertimbangan komersial semata-mata.

Malah, beliau menyatakan syarikatnya bersedia menarik diri sekiranya tawaran itu tidak mendapat sokongan mencukupi sebelum tarikh akhir pada 6 April.

Beliau turut menyifatkan IJM sebagai platform pelaburan yang berpotensi dan menganggap masa cadangan pengambilalihan itu sebagai strategik.

BBerkaitan

Latest articles