JOHOR BAHRU: Sorang juruteknik menukar pengakuan kepada bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan amang seksual dan menghasilkan bahan penganiayaan seksual tiga kanak-kanak berusia lima hingga tujuh tahun, dua tahun lalu.
Hakim Nor Aziati Jaafar dan Madihah Zainol menetapkan 13 Mac ini bagi pendengaran fakta kes dan menjatuhkan hukuman terhadap Muhammad Imran Abdullah, 29.
Memetik Malaysia Gazette, bagi empat pertuduhan amang fizikal, tertuduh didakwa menyelak baju seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun tiga bulan dan menyentuh pinggang dan perut mangsa serta menyentuh perut seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dua bulan.
Tertuduh juga didakwa menjilat kemaluan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun serta menyuruh mangsa menjilat kemaluan tertuduh.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dihukum dengan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Bagi tiga pertuduhan menghasilkan bahan penganiayaan seksual pula, tertuduh didakwa merakam video ketiga-tiga mangsa yang sama dalam keadaan pakaian telah diselak sehingga menampakkan bahagian badan kanak-kanak itu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5 akta sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh didakwa melakukan kesemua perbuatan itu dalam bilik tidur dan tepi rumah di Kampung Pasir Putih Pasir Gudang, Johor Bahru antara pukul 10.30 pagi hingga 11 pagi, 5 April 2024.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin dan Nur Farah Wahida Shahudin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamed Imran Mohamed Sam dan Amar Ajwad Kalki Muhammad Azali Kalki.
Sebelum ini, pada 27 Februari lalu, tertuduh turut menukar pengakuan kepada bersalah di mahkamah sama atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga bayi baru lahir berusia lima dan tujuh hari, dua tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara minimum lima tahun dan boleh dihukum sebat jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut menetapkan tarikh sama bagi pendengaran fakta kes dan menjatuhkan hukuman.
Media sebelum ini melaporkan Muhammad Imran yang didakwa di mahkamah sama pada 19 Disember tahun lalu mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan termasuk melakukan amang seksual terhadap tiga kanak-kanak perempuan berusia lima hingga tujuh tahun.
Sementara pada 16 Januari lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga bayi baru lahir.










