KUALA LUMPUR: Lapan Ahli Parlimen daripada blok Kerajaan Perpaduan diminta tampil memberi penjelasan susulan ketidakhadiran mereka ketika sesi undian penting Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, pada Isnin.
Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mereka perlu menjelaskan perkara itu bukan sahaja kepada rakyat di kawasan masing-masing, malah kepada ketua whip parti serta Ketua Whip Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurut beliau, tanggungjawab seorang Ahli Parlimen adalah memastikan kehadiran ketika Dewan Rakyat bersidang, lebih-lebih lagi bagi pengundian melibatkan pindaan Perlembagaan.
Kelmarin, RUU berkenaan gagal diluluskan selepas tidak mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan.
Daripada keseluruhan undian, hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, 44 berkecuali manakala 32 lagi tidak hadir.
Daripada jumlah yang tidak hadir itu, lapan adalah wakil rakyat kerajaan melibatkan tiga dari Barisan Nasional (BN), manakala selebihnya daripada GPS, GRS, Parti Bangsa Malaysia serta dua Ahli Parlimen Bebas.
Fahmi memaklumkan pelbagai alasan diberikan apabila perkara itu ditanya kepada wakil rakyat terlibat.
Antara yang dimaklumkan ialah Ahli Parlimen Libaran berada di hospital, Ahli Parlimen Tapah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, manakala Ahli Parlimen Bukit Gantang memberikan alasan yang disifatkan beliau sebagai “luar biasa”.
Beliau turut mengakui Timbalan Perdana Menteri II kelihatan kecewa dengan situasi tersebut.
Dalam pada itu, Fahmi menegaskan tiada seorang pun Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) yang ponteng ketika undian berlangsung.
Katanya, blok PH mencatatkan kehadiran penuh dan kesemua mereka mengundi menyokong RUU berkenaan.
“Kehadiran PH adalah 100 peratus. Semua hadir dan mengundi menyokong. Tiada yang tidak hadir dan tiada yang tidak menyokong,” katanya lagi.










