MARAN: Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa kesal terhadap insiden penghinaan al-Quran yang didakwa dilakukan seorang mahasiswa universiti awam di negeri ini.
Baginda menegaskan, tindakan memijak naskhah al-Quran, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang melalui bulan Ramadan adalah perbuatan biadab yang tidak boleh dipandang ringan serta berpotensi menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.
Menurut baginda, perbuatan tersebut bukan sekadar mencemarkan helaian kertas, sebaliknya menghina kesucian wahyu dan maruah umat Islam.
Justeru, baginda menegaskan bahawa berdiam diri dalam keadaan agama dihina bukan satu pilihan.
Titah berkenaan dizahirkan ketika baginda berkenan merasmikan pemasyhuran Masjid Baharu Felda Jengka 19 yang dinamakan sebagai Masjid Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Dalam masa sama, baginda mengingatkan bahawa mempertahankan kesucian agama tidak boleh digerakkan dengan emosi melulu.
Islam, tegas baginda, menuntut ketegasan yang berlandaskan keadilan dan undang-undang, bukannya tindakan terburu-buru yang boleh meruntuhkan keamanan.
Sebagai Ketua dan Pelindung Agama Islam Negeri Pahang, baginda menegaskan sebarang penghinaan terhadap Islam mesti ditangani secara tegas tanpa kompromi, namun tetap menurut lunas perundangan.
Kebebasan bersuara, titah baginda, bukan lesen untuk menghina agama.
Pada masa yang sama, baginda menyeru seluruh rakyat Pahang tanpa mengira bangsa dan kepercayaan supaya saling menghormati kitab suci serta pegangan agama masing-masing.
Negeri ini, titah baginda, dibina atas asas hidup bersama dalam kepelbagaian dan semangat muhibah yang perlu terus dipelihara.
Baginda turut menegaskan bahawa mempertahankan Islam tidak bermaksud menafikan hak penganut agama lain. Sebaliknya, setiap agama wajar dihormati agar keamanan dan keharmonian dapat terus dikekalkan.
Mengakhiri titah, baginda mengajak rakyat menjadikan insiden itu sebagai muhasabah bersama agar kemajuan material tidak menghakis akhlak dan nilai spiritual.










