KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau menawarkan diri untuk mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Naib Presiden Bersatu itu menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai fitnah yang tidak berasas.
Menurut Radzi, ketika pertemuan bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, di Rusila, Terengganu pada 18 Februari lalu, isu pencalonan beliau sebagai Ketua Pembangkang langsung tidak dibangkitkan.
“Ini merujuk kepada tuduhan bahawa ketika bertemu Hadi di Rusila pada 18 Feb 2026, saya telah menawarkan diri sebagai calon Ketua Pembangkang mewakili Bersatu.
“Wallahi, Wabillahi, Watallahi, saya tidak pernah menyebut nama saya sebagai calon Ketua Pembangkang mewakili Bersatu dalam pertemuan tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Radzi menegaskan, kebenaran berhubung pertemuan itu boleh disahkan oleh beberapa pimpinan yang hadir, termasuk Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman serta Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Razali Idris.
Malah, katanya, perkara itu juga boleh dirujuk terus kepada Abdul Hadi sendiri.
“Di bulan Ramadan yang mulia ini, saya doakan agar mereka yang menyebarkan fitnah ini insaf,” ujarnya.
Isu berkenaan timbul di tengah spekulasi mengenai kedudukan Ketua Pembangkang dalam blok Perikatan Nasional (PN).
Minggu lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menegaskan bahawa Hamzah masih diiktiraf sebagai Ketua Pembangkang kerana PN belum mengemukakan sebarang pemakluman rasmi berhubung perubahan jawatan tersebut.
Takiyuddin turut dipetik sebagai berkata bahawa Hamzah kekal memegang jawatan itu setakat ini.
Untuk rekod, Hamzah dilantik sebagai Ketua Pembangkang selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan pada 2022 hasil pencalonan PAS, walaupun ketika itu Pengerusi PN masih disandang Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.










