KUALA LUMPUR: Individu yang tular kerana didakwa memijak al-Quran bakal berdepan tindakan undang-undang apabila dijadualkan didakwa di mahkamah, esok.
Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan bahawa Vikneswaran a/l Selvanathan akan berdepan dua pertuduhan susulan insiden yang berlaku di Kuantan, Pahang.
Menurut AGC, pertuduhan pertama dibuat di bawah Kanun Keseksaan iaitu Seksyen 295 kerana didakwa mencemarkan objek yang dianggap suci oleh penganut agama Islam dengan memijak al-Quran.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan pengetahuan bahawa ia merupakan satu penghinaan terhadap agama berkenaan.
Selain itu, tertuduh turut berdepan pertuduhan kedua di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 233(1)(a), atas dakwaan membuat serta memulakan satu hantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau melalui aplikasi Threads dengan niat untuk menyakitkan hati pihak lain.
“Kedua-dua pertuduhan tersebut akan dikemukakan di Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa pada 3 Mac 2026,” menurut kenyataan tersebut.
AGC memaklumkan, keputusan untuk mendakwa dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia berhubung insiden berkenaan.
“Hasil penelitian mendapati terdapat keterangan mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap individu yang disyaki,” jelasnya lagi.
Kes berkenaan sebelum ini mencetuskan reaksi meluas dalam kalangan masyarakat susulan penularan rakaman insiden tersebut di media sosial.










