BN Tidak Mahu Jadi ‘Pemain Kedua’, Akan Tanding 115 Kerusi PRU16

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) dilapor menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 115 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), satu langkah berani yang dilihat sebagai usaha mengembalikan dominasi gabungan itu di peringkat Persekutuan.

Perkara itu disuarakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam satu sesi pemukiman tertutup di kediaman rasminya di Sri Satria, Putrajaya, kelmarin.

Memetik Malaysiakini, pertemuan tersebut difahamkan menghimpunkan hampir 200 perwakilan daripada parti-parti komponen BN serta kumpulan ‘Friends of BN’.

Menurut beberapa sumber yang menghadiri sesi berkenaan, Zahid menegaskan bahawa BN tidak boleh terus dianggap sebagai “pemain kedua” dalam Kerajaan Perpaduan yang diterajui bersama Pakatan Harapan (PH).

Katanya, dengan mensasarkan sekurang-kurangnya 115 kerusi iaitu melepasi angka majoriti mudah 112 dengan BN berpeluang muncul sebagai blok terbesar dan seterusnya mengetuai kerajaan sekiranya mencatat keputusan lebih baik berbanding PH.

Sumber turut memaklumkan bahawa Zahid memberi amaran, sekiranya BN hanya bertanding sekitar 50 hingga 60 kerusi, ia akan memberi persepsi negatif khususnya dalam kalangan pengundi Melayu.

“Jika BN bertanding terlalu sedikit kerusi, ia boleh ditafsirkan seolah-olah Umno takut kepada DAP dan sanggup menyerahkan kerusi tradisi kepada PH. Itu risiko besar kepada kelangsungan parti,” kata sumber tersebut.

Langkah mensasarkan 115 kerusi hampir pasti membawa kepada pertindihan kerusi antara BN dan PH pada PRU16, sekali gus menandakan perubahan strategi yang lebih agresif berbanding pendekatan kerjasama pasca-PRU15.

Sumber dalaman turut menyebut bahawa keputusan itu bukan sekadar soal persepsi, tetapi berpaksikan penilaian semasa terhadap prestasi PH yang dikatakan berdepan cabaran sokongan, khususnya dalam kalangan pengundi bukan Melayu.

Nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut dibangkitkan dalam perbincangan apabila terdapat pandangan bahawa beberapa kenyataan beliau termasuk isu penguatkuasaan terhadap kuil tidak berdaftar menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat India.

Selain sentimen pengundi, ketidakseimbangan jawatan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan juga menjadi topik hangat.

Seorang sumber daripada MCA mendakwa terdapat rasa tidak puas hati apabila komposisi jawatan menteri tidak sepadan dengan sumbangan 30 peratus kerusi Parlimen yang dimiliki BN dalam kerajaan hari ini.

“Walaupun BN menyumbang kira-kira 30 peratus kerusi, jumlah jawatan menteri tidak mencerminkan angka tersebut. Tambahan pula, kementerian yang diperoleh dilihat kurang bersifat mesra rakyat,” menurut sumber itu.

Situasi itu, katanya, menguatkan lagi hujah bahawa BN perlu mengetuai kerajaan bagi memastikan kepentingan rakyat dapat diperjuangkan secara lebih efektif.

Untuk rekod, kerjasama BN–PH terbentuk selepas PRU15 pada November 2022 yang menyaksikan Parlimen tergantung apabila tiada gabungan memperoleh majoriti mudah 112 kerusi.

BN yang ketika itu memenangi hanya 30 kerusi iaitu keputusan terburuk dalam sejarahnya akhirnya menyokong pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Langkah tersebut mengejutkan ramai pihak memandangkan sebelum itu Umno meluluskan usul “No DAP, No Anwar”.

Sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan, Zahid secara terbuka mempertahankan kerjasama tersebut dan menyifatkannya sebagai formula kestabilan politik negara.

BBerkaitan

Latest articles