Iran Nafi Khamenei Terbunuh, Dakwa Trump Lancar ‘Perang Psikologi’

TEHRAN: Agensi berita Iran, Tasnim News Agency dan Mehr News Agency menafikan dakwaan bahawa Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, telah terbunuh.

Menurut laporan media rasmi, pejabat Khamenei menegaskan beliau “teguh dan kekal kukuh dalam memimpin medan perang”, sekali gus menolak kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang mendakwa pemimpin itu maut dalam serangan terbaru.

Ketua Perhubungan Awam pejabat Khamenei turut menuduh musuh Iran sedang melancarkan “perang psikologi” bagi mengelirukan rakyat.

“Musuh menggunakan perang psikologi. Semua pihak perlu sedar,” katanya seperti dipetik media tempatan.

Terdahulu, Trump menerusi platform Truth Social mendakwa kematian Khamenei sebagai satu bentuk “keadilan” untuk rakyat Iran dan Amerika Syarikat, selain menyifatkan ia peluang terbaik untuk rakyat Iran mengambil semula negara mereka.

Beliau bagaimanapun tidak mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebelum ini turut mendakwa terdapat “banyak petanda” bahawa Khamenei telah terbunuh.

Bagaimanapun, laporan Middle East Eye menyatakan pihaknya tidak dapat mengesahkan dakwaan itu secara bebas, manakala Al Jazeera turut memetik sumber yang menafikan kematian pemimpin tertinggi Iran berkenaan.

Beberapa jam sebelum kenyataan Trump, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, memaklumkan bahawa Khamenei masih hidup “setakat yang beliau tahu”, sambil menambah hampir semua pegawai kanan negara itu selamat.

Dalam perkembangan berkaitan, serangan besar-besaran pada Sabtu lalu dilaporkan menyasarkan 24 wilayah di Iran dan mengorbankan sekurang-kurangnya 201 orang, menurut Bulan Sabit Merah Iran.

Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan gelombang serangan balas ke atas sasaran ketenteraan Israel dan Amerika Syarikat di rantau Timur Tengah, sekali gus meningkatkan lagi ketegangan geopolitik di rantau berkenaan. – Agensi

BBerkaitan

Latest articles